BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
AM

Koperasi antara kaedah boleh digunakan kerajaan perangi orang tengah - Annuar

06/08/2022 04:33 PM

MELAKA, 6 Ogos (Bernama) -- Kaedah menggunakan gerakan koperasi antara langkah boleh diambil kerajaan dalam usaha memerangi 'orang tengah' yang cuba mengambil keuntungan berlebihan, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) berkata langkah tersebut akan 'memotong' beberapa rantaian daripada pengeluar kepada peruncit yang menyebabkan harga barang meningkat.

"Maknanya ada kaedah secara langsung daripada pengeluar, pembungkus macam yang diberikan kepada koperasi, mereka dibenarkan import gula, mereka akan dibenarkan untuk buat pembungkusan kepada peket kecil dan mereka boleh terus mengedar sebagai peruncit melalui rangkaian kedai-kedai koperasi.

"Dan mereka (koperasi) juga memberi jaminan harga antara 15 ke 20 peratus lebih rendah daripada harga sekarang. Ini antara langkah yang akan kita mula laksanakan," katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barangan di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Annuar mengulas mengenai saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengembalikan usaha jihad memerangi orang tengah yang pernah dilaksanakan lapan tahun lepas.

Perdana Menteri dilaporkan berkata jihad itu perlu diteruskan menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan dengan kerjasama agensi di bawah MAFI seperti mewujudkan pusat pembelian padi, pusat pengumpulan buah-buahan, penambahan pasar tani dan pasar nelayan.

Dalam pada itu, Annuar berkata beliau berpuas hati apabila terdapat pasar raya mula menurunkan harga minyak sawit dalam botol walaupun penetapan harga siling minyak masak botol tidak bersubsidi mula berkuat kuasa, Isnin ini. 

"Kita tahu pasar raya seperti Mydin, sudah mula menjual minyak masak dalam botol seberat 5 kilogram (kg) pada harga RM32.70, dan itu satu langkah yang baik, yang saya harap rantaian kedai-kedai lain akan dapat melakukan tindakan yang sama.

"Tak semestinya tunggu 8 Ogos, sebab kita tahu sebahagian daripada stok itu ada juga yang dibeli waktu harga murah, dan saya tak nafikan ada yang dibeli pada waktu harga mahal.

"Tetapi benchmark (tanda aras) RM34.70 telah mengambil kira dua perkara iaitu 'harga purata’ pada Julai dan sejumlah premium yang telah ditokok pada harga itu," katanya.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan