BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
AM

Kembara RIUH platform terbaik usahawan industri kreatif promosi produk

06/08/2022 04:23 PM

MELAKA, 6 Ogos (Bernama) -- Kembara RIUH Keluarga Malaysia Edisi ke-3: RIUH NAU! yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Dataran Pahlawan di sini menjadi platform terbaik khususnya bagi usahawan industri kreatif mempromosikan produk keluaran mereka.

Usahawan aneka kraf, Saedah Jeragan, 63, berkata reruai yang disediakan pada program berkenaan membolehkan usahawan kecil dan sederhana sepertinya mempamerkan pelbagai produk kraf seni 'decoupage' yang dihasilkannya sekali gus meningkatkan pendapatannya.

"Produk-produk seni 'decoupage' yang akak hasilkan ini memang ada dijual di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, namun dengan promosi secara turun padang pada program seumpama ini juga adalah penting.

"Selain dapat mempromosikan barangan, kita juga dapat berinteraksi dengan pembekal luar kerana pengunjung yang datang ke gerai bukan sahaja mereka dalam kalangan pengunjung biasa tetapi juga pencari barangan kreatif," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Usahawan dari Melaka itu berkata kerajaan juga diharap terus menganjurkan platform seumpama ini untuk memberi ruang kepada usahawan kecil dan sederhana dalam industri kreatif negara mengembangkan perniagaan mereka.

Sementara itu, usahawan barangan perhiasan wanita, Eng Li Ann, 22, berkata ia merupakan pengalaman pertama buatnya mempromosikan produk jualannya pada karnival berkenaan dan tidak menyangka sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Peniaga anting-anting, cincin dan rantai leher dari Kuala Lumpur itu berkata menerusi program itu, produk jualannya menjadi tarikan golongan muda yang meminati barangan perhiasan wanita.

"Platform seumpama ini amat bagus untuk mempromosikan produk tempatan dan kebanyakan usahawan yang menyertai pameran selama tiga hari ini adalah daripada golongan muda.

"Jadi, ia amat baik untuk membantu kami mengembangkan perniagaan dan memperkenalkan produk atau jenama kami kepada pengunjung yang datang ke program ini," katanya yang telah aktif dalam perniagaan berkenaan sejak lima tahun lepas.

Muhd Fadhil Sufyan, 27, dari Taming Sari Archery Collection berkata produk jualan peralatan memanah tradisional mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung pelbagai peringkat umur.

Beliau berkata pameran produk yang disertainya itu memberi ruang kepada pengunjung khususnya golongan generasi muda untuk mengenali secara lebih dekat tentang kepelbagaian peralatan memanah tradisonal dan berpeluang mencuba sendiri teknik memanah yang betul.

"Ada pengunjung yang tahu tentang alat memanah ini tetapi tidak pernah mencubanya...di sini kita memberi pendedahan kepada mereka tentang alat memanah dan membantu mereka yang meminati sukan ini," katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa semalam dilaporkan berkata kerajaan sedang berusaha menyemarakkan semula industri seni dan budaya kreatif ketika fasa peralihan ke endemik, memandangkan pentingnya industri ini dalam pembangunan negara.

Beliau berkata satu daripada usaha yang dilakukan ialah menerusi penganjuran Kembara RIUH Keluarga Malaysia ke seluruh negara yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative).

Kembara RIUH Keluarga Malaysia itu, yang menghimpunkan usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan, dijangka mampu mewujudkan sekurang-kurangnya 7,000 peluang pekerjaan di 14 lokasi di seluruh negara selain menyokong lebih 5,000 perniagaan tempatan.

Ia juga selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan sumbangan industri kreatif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sebanyak 20 peratus dengan anggaran RM31 bilion menjelang 2025.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan