EKONOMI

NEUROGINE, UMS BEKERJASAMA TANGANI ISU EKONOMI MELALUI TEKNOLOGI BLOCKCHAIN

21/07/2022 07:03 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 21 Julai (Bernama) -- Neurogine Group of Companies, pemaju teknologi kewangan platform mudah alih untuk perbankan, pembayaran, pembrokeran wang, peniaga dan banyak lagi, memeterai kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk mengkaji isu keterangkuman kewangan, terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan akses kredit.

Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine Group Owen Chen Chee Onn berkata pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan Neurogine Group itu untuk mendapatkan idea baharu dan jawapan, memanfaatkan keupayaan teknologi dan pengalaman Neurogine Group untuk membantu segmen perniagaan yang disasarkan, terutamanya PKS, pulih.  

“Kami menjejaki hala tuju ini berikutan PKS merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan pewujudan pekerjaan terutamanya di negara-negara membangun seperti Malaysia.

“Dari aspek pandangan kami, kami melihat jurang yang ketara untuk akses modal dan kredit, dikategorikan mengikut kegagalan dan ketidaksempurnaan pasaran, seperti maklumat yang tidak simetri, ketidakcukupan cagaran yang boleh diterima, kos transaksi yang tinggi dan persepsi risiko yang lebih tinggi.

“Ia adalah bermanfaat untuk mengkaji cara baharu dalam menyediakan akses modal dan kredit kepada PKS menggunakan teknologi kami,” katanya selepas menandatangani MoU itu hari ini.

MoU itu dimeterai di Universiti Malaysia Sabah Labuan International Campus (UMSKAL) oleh Naib Canselor UMS Prof Datuk Taufiq Yap Yun Hin dan Owen Chen, disaksikan oleh Pendaftar UMS Luqman Ridha Anwar dan Pengerusi Neurogine Group Chen Chee Peng. 

Chen berkata MoU itu mewakili kerjasama yang dipertingkatkan antara kedua-dua organisasi daripada surat niat (LoI) yang ditandatangani sebelum ini pada 27 Feb 2020.

Daripada MoU itu, tiga inisiatif segera dilaksanakan, dengan inisiatif pertama untuk meninjau potensi dan kesediaan PKS tempatan menggunakan teknologi kewangan baharu.

“Kami melihat kelebihan dalam menghibridkan teknologi kewangan kami untuk PKS, menyediakan akses baharu kepada pembiayaan global untuk meningkatkan pengeluaran makanan, memastikan penuaian laut yang mampan dan banyak lagi.

“Berdasarkan krisis semasa, kami berpendapat ini adalah tepat pada masanya UMS dan Neurogine membuat penyelidikan mengenai bidang ini dan untuk membiayai inisiatif ini, kami hari ini mengumumkan ketersediaan geran penyelidikan... kami telah mula menilai cadangan penyelidikan gunaan yang sesuai dengan UMS,” katanya. 

Inisiatif kedua ialah mengembangkan dan terus menyokong UMS – Neurogine Internship Program, program selama tiga bulan dan Neurogine Group menyediakan alatan dan persekitaran ‘sand-box’ untuk pelatih dari UMS untuk mendapatkan pengalaman dunia sebenar, penting untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian.

Inisiatif ketiga ialah mengambil peranan secara aktif untuk menyokong UMS dalam penganjuran seminar, persidangan dan bengkel berkaitan kewangan dan teknologi.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengumumkan bahawa Neurogine Group merupakan Penaja Emas yang berbangga untuk menyokong Persidangan Antarabangsa Persatuan Kewangan Malaysia 2022 atau MFAIC22 yang akan datang,” katanya. 

Persidangan itu akan diadakan pada 7-9 Sept 2022 buat kali pertama di Labuan, anjuran bersama UMS dan Persatuan Kewangan Malaysia. 

Sementara itu, Prof Taufiq Yap berkata sebagai sebuah institusi pengajian tinggi, UMS akan menggunakan kepakarannya untuk bekerjasama dengan pemain industri seperti Neurogine Group untuk membangunkan penyelesaian perniagaan bagi mencapai taraf hidup lebih tinggi di negara ini.

“Kami turut menyumbang kepada kebajikan dan pembangunan sosial negara dengan berkongsi kepakaran kami,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan