AM

PERAK TERIMA RM100 JUTA PELABURAN BAGI SEKTOR INDUSTRI HILIRAN

18/07/2022 04:27 PM

IPOH, 18 Julai (Bernama) -- Perak menerima pelaburan sebanyak RM100 juta bagi sektor industri hiliran berasaskan sumber mineral batu kapur di kawasan Perindustrian Bemban, Batu Gajah yang dijangka siap pada suku ketiga 2023 untuk fasa pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata projek ini akan dibangunkan dalam dua fasa dengan yang pertama melibatkan kapasiti pengeluaran antara 20 hingga 24 juta liter cat setiap tahun dan dijangka menawarkan sebanyak 200 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.

“Pembangunan kilang ini akan dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini berasaskan revolusi perindustrian keempat menjadikan Smart Paints Manufacturing sebagai syarikat pengeluar cat pertama yang mengguna pakai teknologi Industri 4.0 sepenuhnya di Malaysia.

“Walaupun Perak dilimpahi dengan pelbagai sumber mineral seperti batu kapur, pasir silika, kuarza, tanah liat dan lain-lain, kebanyakan sumber ini hanya dilombong dan dibawa keluar dari negeri ini tanpa proses nilai tambah bagi pengeluaran produk bermutu tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Kilang Baharu di Batu Gajah hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sangat menghargai usaha dan hasrat pihak syarikat untuk membangunkan kilang baharu mereka dalam memanfaatkan sumber bahan mentah batu kapur dan kalsium karbonat untuk dibuat proses nilai tambah bagi pengeluaran produk akhir sekali gus menggalakkan lagi industri hiliran kepada sumber mineral.

Beliau turut menyeru agar InvestPerak bersama-sama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk meneruskan usaha mengenal pasti pelabur-pelabur berpotensi dalam sektor industri mineral bagi menggalakkan lagi aktiviti nilai tambah dan industri hiliran ke atas sumber mineral yang banyak terdapat di negeri ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan