EKONOMI

MATRADE TAMBAH BAIK GARIS PANDUAN ETRADE 2.0, TINGKATKAN PENYERTAAN PMKS

04/07/2022 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menambah baik garis panduan program eTRADE 2.0 untuk menggalakkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyertainya.

Berdasarkan garis panduan yang telah disemak berkuat kuasa 1 Julai, kriteria kelayakan bagi dua skim di bawah eTRADE 2.0 iaitu Skim ‘Onboarding’ serta Skim Pemasaran Digital dan Latihan (DMT) telah dikemaskinikan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport), Abu Bakar Yusof berkata penambahbaikan itu dilakukan setelah mengambil kira keperluan untuk PMKS mempelbagaikan pasaran eksport dan meningkatkan skala melalui kehadiran dalam pelbagai pasaran e-dagang rentas sempadan.

“Ini juga untuk memperkemas pemudahan oleh MATRADE dan menggalakkan lebih ramai PMKS meraih manfaat daripada program ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut MATRADE, melalui Skim ‘Onboarding’, PMKS Malaysia yang layak akan dapat menggunakan sehingga RM5,000 bagi setiap syarikat dalam bentuk pembayaran ganti untuk perbelanjaan yang ditanggung bagi penyertaan ke dalam platform e-dagang rentas sempadan pilihan mereka.

PMKS juga dibenarkan menyertai pelbagai platform di bawah skim ini, membolehkan mereka mempunyai lebih banyak pilihan dalam memilih platform e-dagang yang paling sesuai dengan keperluan dan pasaran sasaran mereka, jelasnya.

Bagi Skim DMT, PMKS yang layak akan menerima sehingga RM20,000 bagi setiap syarikat sebagai pembayaran ganti untuk perbelanjaan mereka dalam menjalankan aktiviti pemasaran digital bagi mempromosikan produk mereka di luar negara dan untuk program latihan berkaitan e-dagang yang mereka pilih untuk hadir, tambah agensi itu.

Menurut MATRADE, inisiatif ini bertujuan melonjakkan eksport melalui pasaran e-dagang rentas sempadan bermula dengan Program eTRADE berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-11 dari 2017 hingga 2020, yang telah memberi manfaat kepada 3,358 PMKS dan menjana hasil eksport bernilai lebih RM300 juta.

Layari www.matrade.gov.my/en/export-to-the-world/trade-facilitationpage/etrade-programme untuk mendapatkan maklumat lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan