BERITA COVID–19   Kes COVID-19 meningkat, Itali perketat protokol kesihatan | Canberra hadapi gelombang baharu COVID-19 - Kementerian Kesihatan | Singapura lapor kematian pertama bawah umur 12 tahun akibat COVID-19 | Tiada SOP tambahan laksana ibadah korban tahun ini - MAIK | COVID: Kes baharu meningkat, kematian menurun minggu lalu - Noor Hisham | 
EKONOMI

Jaminan, kemampanan tenaga kekal jadi keutamaan di Asia Tenggara - Presiden MGA

25/05/2022 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Rantau Asia Tenggara terus berdepan dengan cabaran untuk mencari keseimbangan antara jaminan, kemampuan dan kemampanan tenaga apabila keperluan untuk mengembangkan akses tenaga bersih dan terjamin di rantau ini terus menjadi suatu yang sangat penting.

Presiden Persatuan Gas Malaysia (MGA) Abdul Aziz Othman berkata walaupun rantau ini mencapai lebih daripada 90 peratus penembusan bekalan elektrik, kira-kira 60 juta orang masih kurang mendapat akses kepada elektrik. 

“Sementara itu, kira-kira 230 juta orang masih bergantung kepada biojisim pepejal sebagai bahan api  memasak,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan Persidangan Gas Dunia ke-28  (WGC2022), yang dianjurkan oleh International Gas Union (IGU) di Korea Selatan.

 Abdul Aziz berkata rantau ini yang menyedari akan peranan penting dimainkan oleh gas asli dalam menyediakan tenaga bersih serta pemulihan ekonomi terus melabur dalam pengeluaran gas asli dan prasarana penghantaran, meskipun cabaran ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19. 

Beliau berkata pembinaan beberapa terminal pengegasan semula di ASEAN sedang diteruskan untuk mengembangkan rangkaian pengedaran di rantau ini. 

Menurutnya, gas asli, bahan api fosil paling bersih akan kekal menjadi sumber tenaga utama, terutamanya di Asia Tenggara yang mana pasaran tenaganya dijangka berkembang pesat. 

“Sebagai bahan api yang bersih dan boleh diyakini yang digunakan dalam semua sektor yang menggunakan tenaga, gas asli dijangka memainkan peranan penting dalam menyediakan sumber tenaga lebih bersih dan boleh dipercayai,” kata Abdul Aziz, yang juga merupakan Penyelaras Serantau Asia Tenggara dan Selatan bagi IGU.

 Beliau berkata ketika rantau ini beralih daripada arang batu, kebanyakan negara ASEAN komited kepada Sumbangan Yang Ditentukan Negara (NDC) dengan sasaran tanpa syarat ke arah mencapai komitmen bersih-sifar menjelang 2050.

“Gas asli akan terus menjadi satu keperluan penting bagi penjanaan kuasa dan akan memainkan peranan dalam menyediakan akses dan jaminan tenaga bagi tempoh jangka panjang kepada negara, pada masa yang sama membantu rantau ini mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon rumah hijau,” katanya.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan