AM

FINAS SASAR LEBIH BANYAK PENYERTAAN SYARIKAT TEMPATAN PADA MARCHE DU FILM TAHUN DEPAN

21/05/2022 05:53 PM

Daripada Nur Adila Abdul Wahab

CANNES (Perancis), 21 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyasarkan penyertaan 30 syarikat Malaysia pada Marche Du Film edisi tahun depan berbanding cuma 12 syarikat tahun ini.    

Ketua Pegawai Eksekutif Finas Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata selain itu, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Luar Negeri serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai usaha mempromosi negara ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata perkongsian pintar kesemua kementerian itu akan dapat memperluaskan pasaran filem negara ke peringkat global sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

"Penyertaan kita di pasaran filem antarabangsa ini perlu kita maksimumkan supaya kita dapat tonjolkan lokasi yang menarik di samping dapat menunjukkan budaya, kesenian dan tradisi kita. Kita juga mempunyai pelbagai etnik yang boleh kita tonjolkan.

"Untuk perancangan akan datang berdasarkan pengalaman pada kali ini tidak banyak penerbit filem yang terlibat sama maka saya telah merancang untuk memperluas promosi untuk penerbit-penerbit filem terutama yang besar untuk turut serta," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Marche Du Film adalah perhimpunan terbesar industri filem bagi pengeluar, pembiaya, penyiar, pengedar, pembekal dan pembeli dari seluruh dunia untuk bertemu, berkongsi idea serta membuat tawaran.

Sebanyak 250 syarikat dari 110 negara menyertai pasaran filem selama sembilan hari itu bermula 17 Mei.

Bagi edisi kali ini, sebanyak 12 syarikat tempatan yang menampilkan pelbagai produk kandungan kreatif seperti filem cereka, animasi, dokumentari dan lain-lain menghadiri pameran filem itu dengan sembilan syarikat hadir secara fizikal manakala tiga syarikat secara dalam talian.

Md Nasir berkata beliau dalam proses bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi memperkenal dan mempromosi insentif daripada MATRADE untuk membolehkan lebih ramai pengeluar filem tempatan menyertai pameran filem antarabangsa terbesar di dunia itu tahun depan.

"Untuk masa akan datang Finas telahpun merancang untuk membuat promosi lebih awal di samping bekerjasama dengan MATRADE untuk mendapatkan insentif-insentif yang bersesuaian.

"Insya-Allah melalui pendekatan yang bersesuaian dan berkesan kami akan dapat menambah lagi penyertaan kerana dengan penyertaan yang banyak maka lebih besarlah Pavilion Malaysia kita dan dengan kandungan yang lebih banyak maka ini akan dapat menarik lebih banyak pengunjung ke Pavilion kita," katanya.

Mengulas mengenai sasaran RM50 juta pelaburan asing ke Malaysia melalui Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) pada Marche Du Film kali ini, Md Nasir optimis sasaran itu mampu dicapai sebelum pameran filem itu berakhir pada Rabu ini.

Beliau berkata setakat ini beberapa syarikat luar negara juga telah menunjukkan minat untuk membeli kandungan kreatif negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan