BERITA COVID–19   Hampir 13.2 juta kanak-kanak di AS dijangkiti COVID-19 | Filipina kesan jangkitan tempatan subvarian Omicron BA.2.12.1  | 30 peratus kanak-kanak di Malaysia lengkap vaksinasi COVID-19 | Kes baharu COVID-19 meningkat 119 peratus minggu lepas - KP Kesihatan | Singapura lapor 3 kes tempatan varian Omicron BA.4, BA.5 | 
DUNIA

ASEAN, AS komited tingkat kerjasama dalam bidang maritim

14/05/2022 11:41 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) komited untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang maritim melalui mekanisme diterajui ASEAN.

Kenyataan visi bersama yang dikeluarkan selepas Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang diadakan di Washington D.C. pada 12 hingga 13 Mei menyatakan kedua-dua pihak merancang untuk menjalin hubungan baharu serta menggalakkan kerjasama dan penyelarasan dalam kalangan agensi berkaitan, termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang maritim.

Ini termasuk kerjasama dalam meningkatkan kesedaran bidang maritim, mencari dan menyelamat, keselamatan maritim, dan untuk membendung penangkapan ikan haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU) melalui perkongsian maklumat, amalan terbaik dan kepakaran, serta bantuan teknikal, yang akan melengkapkan dan tidak meniru mekanisme sedia ada.

"Kami berdedikasi untuk mengekalkan keamanan, keselamatan, dan kestabilan di rantau ini, dan untuk memastikan keamanan dan keselamatan maritim, serta kebebasan pelayaran dan penerbangan serta penggunaan lain yang sah di laut seperti yang dijelaskan dalam UNCLOS 1982 (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut), dan perdagangan maritim yang sah tanpa halangan serta bukan ketenteraan dan terkawal dalam menjalankan aktiviti," kata kenyataan itu.

Selain itu, ASEAN dan AS turut mengiktiraf faedah menjadikan Laut China Selatan sebagai kawasan perairan yang aman, stabil dan makmur.

Kedua-dua negara menekankan kepentingan langkah praktikal yang boleh mengurangkan ketegangan dan risiko kemalangan, salah faham dan salah percaturan.

"Kami menekankan kepentingan untuk melaksanakan pembinaan keyakinan dan langkah pencegahan bagi meningkatkan, antara lain, kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan setiap pihak," menurut kenyataan itu.

ASEAN dan AS juga menekankan kepentingan pelaksanaan penuh dan berkesan Deklarasi 2002 mengenai Tatalaku Pihak-pihak di Laut China Selatan (DOC) secara keseluruhannya, sambil menekankan keperluan untuk mengekal dan menggalakkan persekitaran yang kondusif  mengikut Kod Tatalaku (COC) dalam rundingan Laut China Selatan.

"Kami mengalu-alukan kemajuan selanjutnya ke arah rumusan awal COC yang berkesan dan substantif yang konsisten dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, ASEAN dan AS komited untuk terus bekerjasama dalam menggalakkan perdagangan dan pelaburan serta memudahkan rantaian bekalan global yang berdaya tahan dan ketersambungan serantau yang lancar.

Ia termasuk untuk barangan keperluan seperti bekalan perubatan, ubat-ubatan, vaksin, makanan dan produk pertanian, komoditi, produk berteknologi tinggi, dan bekalan dan perkhidmatan penting lain, yang menyumbang kepada pemulihan dan daya tahan ekonomi yang mampan di rantau ini.

Kedua-dua pihak juga berusaha untuk memperdalam kerjasama mereka dalam ketersambungan pengangkutan, termasuk program kemudahan udara, darat, maritim dan pengangkutan bagi memajukan pembangunan infrastruktur mampan dan menyokong teknologi baharu muncul, termasuk kenderaan elektrik.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan