BERITA COVID–19   COVID-19: Lebih 22.9 juta dewasa lengkap divaksin | KKM tidak cadang lanjut vaksinasi PICKids | Kejayaan Malaysia masuk fasa peralihan ke endemik turut dibantu kempen COVID-19 RTM | “Tahniah rakyat Malaysia” - Khairy | COVID-19: Satu lagi kematian dilaporkan di Korea Utara | 
AM

ASEAN tegas dalam isu antarabangsa semasa bertemu Presiden Biden - PM Ismail Sabri

14/05/2022 09:54 AM

Daripada Jamaluddin Muhammad

WASHINGTON D.C, 13 Mei (Bernama) -- Pemimpin ASEAN kekal tegas dalam beberapa isu antarabangsa semasa pertemuan mereka dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di sini pada Jumaat (Sabtu di Malaysia).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemimpin ASEAN juga menunjukkan pendirian bersama ketika membincangkan isu Rusia-Ukraine dan Laut China Selatan.

ASEAN mahu krisis Rusia-Ukraine diselesaikan melalui meja rundingan, katanya kepada media Malaysia selepas menghadiri sesi akhir sidang kemuncak khas dua hari itu bersama Presiden Biden dan pemimpin ASEAN.

“Perang tidak menguntungkan sesiapa. Malah banyak pihak yang rugi kerana kesan perang itu,” katanya.

Dalam konteks ini, Malaysia, kata beliau, berpendapat AS harus menggunakan pengaruhnya untuk membantu menyelesaikan krisis Rusia-Ukraine.

Ismail Sabri berkata Malaysia menegaskan bahawa negara-negara Asia Tenggara turut terjejas akibat perang itu terutamanya dari segi kenaikan inflasi serta harga makanan dan oleh itu mahu perang tersebut diselesaikan secara aman.

Pada 24 Feb, Rusia melancarkan operasi ketenteraan penuh ke atas Ukraine, beberapa hari selepas Kremlin mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah di timur Ukraine.

Menyentuh isu Laut China Selatan, Perdana Menteri berkata ASEAN juga bertegas dalam pendiriannya bahawa laluan itu perlu bebas daripada campur tangan luar.

“Laut China Selatan mesti kekal bebas seiring dengan kebebasan navigasi yang berdasarkan perundangan antarabangsa. Ia beri kesan pada rantaian bekalan jika wujud konflik di kawasan itu,” katanya.

Pemimpin Malaysia itu menyeru semua negara menghormati pendirian ASEAN dalam perkara itu.

China, Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam adalah pihak yang menuntut untuk sebahagian besar atau sebahagian daripada sumber asli Laut China Selatan yang kaya dan isu-isu itu tidak dapat diselesaikan sejak beberapa dekad.

“Solidariti ASEAN dalam isu-isu antarabangsa jelas semasa perbincangan dengan Presiden Biden. Prinsip ASEAN zon aman, bebas dan berkecuali diterjemahkan dalam pertemuan itu,” kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri berkata beliau turut membangkitkan isu Palestin semasa pertemuan itu dan menggesa Washington menggunakan pengaruhnya dalam menyelesaikan isu itu.

“Kekejaman Israel perlu dihentikan. Malaysia menekankan Amerika Syarikat perlu jujur selesai isu tersebut.

“Kalau di Ukraine, Amerika boleh mengambil tindakan cepat, kita nak Amerika Syarikat mengambil tindakan cepat bagi isu Palestin,” katanya.

Ismail Sabri berkata beliau turut membangkitkan isu Myanmar semasa pertemuan itu dan keperluan Konsensus 5 Perkara dipatuhi dalam menyelesaikan konflik itu.

Mesyuarat itu dihadiri oleh semua pemimpin ASEAN kecuali dari Myanmar dan Filipina. Myanmar tidak dijemput manakala Filipina sedang menghadapi pilihan raya umum.

Pemimpin ASEAN lain yang menghadiri sidang kemuncak itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Kemboja Hun Sen.

Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-Cha, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Laos Dr Phankham Viphavanh turut hadir.

-- BERNAMA

 

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan