EKONOMI

SERBA DINAMIK, EKSEKUTIF TERTINGGI SELESAIKAN SEPENUHNYA KOMPAUN RM16 JUTA

12/05/2022 10:36 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Serba Dinamik Holdings Bhd dan eksekutif tertingginya telah melaksanakan penyelesaian penuh kompaun mereka, yang dikenakan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan jumlah keseluruhan RM16 juta.

Dalam kenyataan pada Khamis, Serba Dinamik menjelaskan pembayaran telah dibuat pada 9 Mei, sebelum tarikh akhir lanjutan pada 11 Mei, 2022.

“Syarikat juga ingin menekankan bahawa operasi diteruskan seperti biasa, dengan tumpuan kepada menguruskan pemiutang dan proses penstrukturan semula Nota Amalan 17,” jelasnya.

Pada 13 April, 2022, Serba Dinamik; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah; Pengarah Eksekutif, Datuk Syed Nazim Syed Faisal; Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi; dan Naib Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman dikenakan kompaun RM3 juta setiap seorang kerana mengemukakan maklumat palsu dalam penyata kewangan syarikat.

Muhammad Hafiz telah dikenakan kompaun tambahan RM1 juta kerana memalsukan rekod perakaunan anak syarikat Serba Dinamik, Serba Dinamik Sdn Bhd.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan