AM

MTDC, SCENIC KERJASAMA TINGKAT KEPAKARAN IR4.0 USAHAWAN DI SABAH

25/04/2022 10:28 PM

KOTA KINABALU, 25 April (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) bersama Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (Scenic) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kepakaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dalam kalangan usahawan Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata melalui MoU itu usahawan teknologi dan digital di Sabah diharap dalam menjalin kerjasama dengan usahawan IR4.0 yang sedia ada dalam ekosistem perbadanan itu.

Beliau berkata sebagai langkah pertama melalui MoU itu, 15 syarikat di Sabah akan dibantu oleh syarikat dalam MTDC melalui program MyRESKILL.

"Dengan kerjasama Scenic ini kita akan dapat menambahkan bilangan usahawan tempatan dalam IR4.0 kerana kita mengkhususkan kepada kegiatan IR4.0 dan pendigitalan, kita berharap wujud jaringan baharu antara syarikat teknologi di Sabah dan juga di Semenanjung.

"Melalui kerjasama ini kita mengharapkan suatu sinergi akan dapat dibina dan bekerjasama untuk bersama-sama membangunkan perniagaan, dan dengan adanya peluang perniagaan, ia akan mewujudkan pekerjaan," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.

MoU itu ditandatangan Norhalim dan Pengurus Besar Scenic Viviantie Sarjuni, dengan disaksikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan.

MOU antara MTDC dan SCENIC itu dimeterai sempena Pelancaran Pelan Strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah 2022-2025 yang dilancarkan Yakub hari ini bagi memandu kementerian itu membangunkan sektor sains, teknologi dan inovasi di Sabah.

Norhalim berkata hasrat utama MTDC ialah lebih banyak syarikat akan bekerjasama supaya dapat membangunkan perniagaan yang lebih besar, kerana syarikat teknologi kebanyakkannya berskala kecil dan sukar untuk memenuhi kehendak pasaran.

Sementara itu beliau berkata inisiatif ‘Centre Of Nine Pillars' (Co9P) yang bermula pada 2018 di negara ini telah terbukti berjaya membantu syarikat-syarikat ini berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19 malah turut berkembang.

"Oleh itu dengan kerjasama ini kita akan mewujudkan Co9P, Scenic-MTDC Kota Kinabalu IR 4.0 dan apabila ada kesemua Co9P ini, apa yang ingin kita hasilkan ialah sinergi dari segi kepakaran syarikat di bawah MTDC," katanya.

Yakub ketika berucap pada majlis itu berkata SCENIC dan MTDC bekerjasama membentuk perkongsian strategik dalam membina ekosistem yang komprehensif dan kondusif untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS), penyelidik dan inovator berasaskan teknologi di Sabah. 

Katanya kerjasama itu akan memacu penerapan IR 4.0 dalam kalangan usahawan di Sabah melalui beberapa peluang kolaborasi di dalam bidang keusahawanan, teknologi industri 4.0 dan inovasi melalui program pembangunan bakat di Sabah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan