AM

FRIM, NPSB BEKERJASAMA HASIL PRODUK MESRA ALAM

23/03/2022 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Nature Profusion Sdn Bhd (NPSB) memeterai perjanjian untuk bekerjasama dalam pembangunan dan pengkomersialan produk mesra alam.

FRIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara produk yang akan dibangunkan dan dikomersialkan adalah semburan penghalau serangga mesra alam, pengelap pembasmi kuman mesra alam dan pembasmi kuman mesra alam pelbagai guna dalam pembungkusan baharu bagi skala industri.

“FRIM berperanan sebagai pembekal teknologi dan kepakaran, manakala NPSB adalah rakan kerjasama strategik FRIM yang bertanggungjawab ke atas pembangunan, pengujian dan pensijilan produk, pengilangan, aktiviti promosi serta penjualan produk pembasmi kuman dan penghalau serangga mesra alam,” menurut kenyataan itu.

Pada majlis yang diadakan semalam itu, FRIM diwakili Ketua Pengarahnya Dr Ismail Parlan manakala NPSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Ramdan Parman.

Menurut kenyataan itu, perjanjian berkenaan merupakan kerjasama menang-menang antara kedua-dua pihak tersebut dalam membangunkan dan mengkomersialkan produk baharu menerusi saluran pasaran sedia ada, di samping meneroka pasaran baharu seperti restoran, hospital dan aplikasi industri.

NPSB merupakan sebuah syarikat yang ditubuhkan daripada Program Pembangunan Biousahawan Siswazah FRIM-MTDC (FMBioSis) menerusi Program Kerjasama FRIM-Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

NPSB yang berkembang sebagai syarikat berasaskan teknologi tempatan sejak ditubuhkan pada 2009, mengeluarkan rangkaian produk hijau berasaskan bahan aktif daripada tumbuhan seperti produk pembasmi kuman pelbagai guna yang selamat untuk manusia dan alam sekitar.

Produk-produk ini telah memperoleh pensijilan SIRIM Eco-label Biodegradable, MyHijau Mark Label dan Halal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan