AM

ABDUL HAMID HILANG HAK UNTUK BERI KOMEN ISU KARTEL PDRM - EAIC

28/02/2022 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb -- Barisan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebulat suara mendapati bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador hilang hak untuk membuat sebarang komen berhubung isu yang disebut sebagai ‘kartel dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM)’.

EAIC dalam kenyataan hari ini berkata ia berikutan Abdul Hamid ketika rakaman percakapannya kepada EAIC tidak memberikan sebarang bukti yang dapat menyokong dakwaannya bahawa wujud apa yang dinamakan ‘kartel’ dalam PDRM.

“Selain itu, Abdul Hamid tidak menamakan mana-mana pegawai yang terlibat dalam isu kartel ini dan beliau mengakui selaku KPN tidak pernah membangkitkan mengenai isu kartel ini dalam mana-mana mesyuarat melibatkan Pengarah-pengarah Jabatan PDRM Bukit Aman.

“Abdul Hamid (juga) tidak mengambil tindakan sewajarnya, walaupun mengetahui berkenaan dengan isu kartel ini sejak tahun 2020, beliau mempunyai masa dan kuasa menangani isu ini sebelum mendedahkannya kepada media,” menurut kenyataan itu.

EAIC mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas kepada kenyataan Abdul Hamid yang dilapor dalam media mengatakan dapatan siasatan EAIC mengenai isu kewujudan kartel dalam PDRM adalah "cetek dan tidak betul”.

Suruhanjaya itu mendapati bekas Ketua Polis Negara itu sepatutnya mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan sewajarnya perlu diambil terlebih dahulu sebelum isu kartel itu didedah kepada media.

"Sebaliknya beliau tidak memberikan keterangan kepada JIPS Bukit Aman supaya isu kartel itu dapat disiasat dan diselesaikan dan beliau selaku KPN tidak pernah membangkitkan isu kartel itu dalam Mesyuarat Suruhanjaya Pasukan Polis,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa terdapat saksi dalam siasatan EAIC yang menyatakan bahawa kenyataan mengenai kewujudan kartel yang dibuat Abdul Hamid pada saat akhir sebelum kontrak beliau sebagai KPN tamat pada Mei 2021 menimbulkan persoalan mengenai motif dan tujuan pendedahan itu.

Selain itu, EAIC ingin menegaskan bahawa Abdul Hamid enggan untuk dirakam percakapan lanjut bagi mendapatkan penjelasan berkenaan dengan isu-isu ini, menurut kenyataan itu.

Minggu lepas EAIC dalam kenyataan memaklumkan bahawa berdasarkan keterangan saksi-saksi dan dokumen yang diperolehi, dapatan siasatan badan itu berhubung dakwaan wujud kartel dalam PDRM sebagaimana didakwa Abdul Hamid tidak dapat ditentusahkan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan