AM

PENANTIAN PENEROKA FELDA CHUPING UNTUK DAPAT GERAN TANAH BERAKHIR

25/01/2022 02:55 PM

PADANG BESAR, 25 Jan -- Penantian selama 44 tahun oleh 447 peneroka dari Felda Chuping di sini untuk mendapatkan geran hak milik tanah mereka berakhir hari ini.

Kesemua mereka menerima geran berkenaan daripada Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man pada majlis penyerahan di Dewan Felda Chuping.

Seorang peneroka, Hamid Ali, 75, berkata beliau bersyukur atas keprihatin kerajaan yang peka terhadap masalah dan nasib mereka.

"Alhamdulillah, akhirnya perjuangan kami (peneroka) untuk mendapat hak milik tanah yang diusahakan selama 44 tahun tercapai walaupun ramai yang sudah tiada (meninggal dunia) ia (hak milik tanah) dapat diwarisi anak-anak mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hamid yang mesra dengan panggilan Pak Ngah turut menyifatkan penerimaan geran itu amat bermakna selepas memutuskan untuk tidak lagi menjadi nelayan pada ketika itu dan beralih sebagai peneroka. 

Izan Asmawi Hamidan, 41, berkata hari ini merupakan detik bersejarah bagi peneroka Felda tersebut apabila secara rasmi menerima hak milik tanah.

"Sebagai generasi kedua saya rasa bertuah kerana dapat meneruskan legasi keluarga dan akan terus usahakan tanah yang diberi kerajaan ini," katanya.

Sementara itu, Azlan berkata proses pemberian geran itu mengambil masa yang lama kerana melibatkan tanah melebihi 2,000 ekar (809 hektar).

"Mereka (peneroka) telah meneroka sejak 1978. Sebelum ini kita berjaya serahkan geran kepada peneroka Felda Rimba Mas dan Felda Mata Ayer pada 2017," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan