BERITA COVID–19   Singapura mudahkan rejim saringan VTL udara dan darat bermula Isnin | COVID: 3,764 kes dilaporkan hari ini - KP Kesihatan | Pengimbas suhu dikeluarkan daripada SOP wajib - Khairy | Thailand kembalikan perjalanan tanpa kuarantin bulan hadapan | Ketetapan baharu solat Jumaat setelah mendapat nasihat Pengarah Kesihatan Selangor | 
EKONOMI

Intel, MIDA bekerjasama lonjak pembangunan bakat

09/12/2021 07:32 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis -- Pengeluar cip terbesar dunia, Intel Corporation, melalui subsidiarinya, Intel Malaysia Sdn Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk meningkatkan pembangunan bakat dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) negara. 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata skop MoU itu akan merangkumi pembangunan modal insan untuk tenaga kerja masa hadapan, kerjasama penyelidikan dan pembangunan, pengembangan sumber tempatan, memacu penggunaan Industri 4.0 oleh pemain ekosistem E&E serta pelaksanaan Program Kesediaan Digital Intel.

"MoU tersebut adalah rangka kerja bagi memudahkan penyemaian ekosistem bakat teknologi yang akan berkembang maju dan akhirnya menyediakan tenaga kerja Malaysia untuk dunia digital serta kecerdasan buatan yang semakin meningkat," kata MITI dalam satu kenyataan hari ini. 

MIDA adalah agensi di bawah kementerian itu.

MITI berkata kerjasama strategik itu akan meneroka pembangunan program penyelidikan dan pembangunan bakat jangka panjang antara Intel serta institusi pengajian tinggi Malaysia yang terpilih dalam membina kumpulan bakat yang mampan dan berdaya saing.

"MoU itu juga bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui kerjasama akademik dan industri yang lebih besar dengan menyediakan graduan bagi memenuhi keperluan industri," katanya.

Sebagai tanda kepada kerjasama ini, Intel dan MIDA akan terus berganding bahu dalam penyelidikan teknologi termasuk pembangunan terkini bagi menyokong pembangunan ekosistem E&E di Malaysia.

MITI berkata penggunaan Industri 4.0 dalam bidang pembuatan pintar juga ditekankan dalam MoU selain daripada meningkatkan aktiviti pendigitalan melalui pelaksanaan Program Kesediaan Digital Intel bagi menyokong Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

"Selaras dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk mempersiapkan negara dan belia memasuki masa hadapan, kerjasama ini adalah tepat pada masanya dalam menyokong Rancangan Malaysia ke-12 untuk memajukan ekonomi digital dan memanfaatkan teknologi baru muncul.

"Perkongsian ini juga akan mengukuhkan lagi matlamat negara dalam menghidupkan semula agenda nasional bagi meningkatkan daya saing jangka panjang Malaysia seperti yang dirumuskan dalam Aspirasi Pelaburan Negara," katanya. 

MITI berkata kerajaan akan meneruskan usaha untuk menggalakkan lebih banyak perkongsian awam-swasta yang menyediakan penyelesaian ketara dalam memenuhi keperluan industri, sambil meningkatkan kesan ekonomi melalui pemindahan teknologi serta kandungan pengetahuan, petunjuk eksport baharu dan kesan limpahan di seluruh industri.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan