BERITA COVID–19   Sarawak benarkan jamuan keluarga menjelang Tahun Baharu Cina | Kes COVID-19 Vietnam hampir cecah 15,000 pada Ahad | COVID: 3,856 kes baharu hari Ahad, menurun berbanding semalam - KP Kesihatan | Singapura mudahkan rejim saringan VTL udara dan darat bermula Isnin | COVID: 3,764 kes dilaporkan hari ini - KP Kesihatan | 
EKONOMI

Kemampuan Malaysia manfaatkan teknologi baharu penting bagi pemulihan, daya tahan

07/12/2021 06:20 PM

JOHOR BAHRU, 7 Dis -- Kemampuan Malaysia untuk memanfaatkan teknologi baharu berperanan penting dalam memastikan pemulihan negara daripada pandemik COVID-19 serta daya tahan terhadap krisis akan datang, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, biarpun menjejaskan kehidupan, pekerjaan, pendidikan serta ekonomi global, COVID-19 juga menunjukkan keperluan ketara bagi mendapatkan teknologi serba tangkas, mudah disesuaikan dan bercirikan transformatif untuk terus menyokong ekonomi digital.

“Oleh itu, apakah yang boleh kita lakukan bagi menyokong transformasi ekonomi digital? Bagi MOSTI, kami percaya perkara utama untuk memastikan transformasi Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi adalah untuk kita semua saling bekerjasama dan merealisasikan model perniagaan bagi meneroka teknologi baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pertukaran Inovasi dan Teknologi Global Iskandar (IGNITE) 2021 secara maya di sini, hari ini.

Dr Adham turut berkongsi kisah kejayaan anak tempatan, Dr Afnizanfaizal Abdullah yang menubuhkan syarikat Kecerdasan Buatan (AI) dikenali sebagai Synapse Innovation Sdn Bhd dan kini merupakan ketua pegawai teknologi syarikat dron global nombor satu dunia -- Aerodyne Group.

“MOSTI yakin Aerodyne akan turut mewujudkan ratusan bakat atau tenaga kerja tempatan di Medini, Iskandar untuk terus menyokong pertumbuan syarikat itu di peringkat global. Ringkasnya, ini juga dapat mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi bagi Keluarga Malaysia secara amnya.

“Malah, saya juga berharap akan wujud lebih banyak syarikat seperti Aerodyne di Malaysia,” katanya.

Menurut Dr Adham, kementerian itu menerusi agensi-agensinya seperti Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), bekerjasama erat dengan Iskandar Investment Bhd (IIB) dalam menyediakan sokongan diperlukan untuk mendorong penggunaan dan pembangunan teknologi serta aplikasi inovatif.

“Syarikat-syarikat teknologi Malaysia memerlukan mekanisme dan sokongan ekosistem profesional yang tepat dalam memangkin pertumbuhan masing-masing,” katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa kementerian itu komited untuk bekerjasama dengan penggiat industri dan agensi kerajaan untuk terus menyokong inisiatif bagi meningkatkan kemahiran dan pekerja agar seiring dengan tahap transformasi digital.

Dalam pada itu, Dr Adham turut mengumumkan pelancaran Program Pemacu Korporat Iskandar (CAP) membabitkan kerjasama antara IIB dan Finnext Capital untuk membangunkan program pertama seumpamanya di Johor.

Program yang bertujuan menghimpunkan kalangan korporat dengan pakar dron dan robotik ke pasaran dan menjadi sinergi terbaik bagi tujuan pengkomersialan produk, katanya.

“Kementerian yakin Iskandar CAP akan turut membantu negara membangunkan semula ekonomi dan pelan pemulihan ini perlu menumpukan aspek mewujudkan pekerjaan, pelaburan dalam infrastruktur dan memacu inovasi dengan kemampanan sebagai fokus utama,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif IIB Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad berkata Iskandar CAP akan menghubungkan syarikat korporat dengan syarikat pemula niaga dan syarikat teknologi berkaliber tinggi, sekali gus mewujudkan transformasi inovasi untuk syarikat terbabit.

“Ini adalah antara program pemacu korporat pertama di rantau selatan dengan tumpuan khusus kepada sektor minyak dan gas, logistik, pelabuhan dan pembuatan untuk inovasi serta transformasi korporat, terutama dalam teknologi dron, robotik, blockchain dan AI.

“Malah, syarikat teknologi tempatan dan serantau akan turut dipelawa menyertai program yang memaparkan kepakaran teknologi mereka selain mengembangkan pasaran masing-masing dalam koridor ekonomi selatan,” katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan