EKONOMI

RENDANG NANGKA CURI TUMPUAN PEMINAT MAKANAN DI MFFW 2021 DI BELANDA

04/12/2021 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis -- ‘Rendang nangka’ meraih perhatian peminat makanan pada Minggu Makanan dan Buah-Buahan Malaysia (MFFW) anjuran Pejabat Perwakilan Pertanian (ACO) di Hague, Belanda, dari 25 Sept hingga 2 Okt lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan ACO, agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang berpangkalan di Hague itu, acara tersebut yang diadakan di Westfield Mall, bertujuan mempromosi masakan terkenal Malaysia dan buah-buahan tropika.

Acara berkenaan juga diadakan dengan kerjasama pasar raya Wah Nam Hong, antara pasar raya terawal di negara itu yang mempunyai lima cawangan di Belanda.

Program tersebut turut dilaksanakan dengan kolaborasi bersama Kedutaan Malaysia di Hague, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Tourism Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Rendang nangka, khususnya, mencuri tumpuan peminat makanan vegan dan menerusi program itu, durian Musang King Malaysia juga diperkenalkan yang menerima perhatian penulis blog, pengulas makanan dan pengunjung.

“Pengunjung juga berpeluang melihat demonstrasi memotong buah selain dapat merasa buah-buahan dan makanan beberapa sajian popular Malaysia seperti nasi lemak bersama ikan bilis dan kacang tanah yang digoreng garing, telur rebus, rendang ayam serta rendang nangka.

Hidangan pencucui mulut berasaskan durian juga disajikan pada acara itu yang turut dihadiri penulis blog dan pengulas makanan.

Semasa promosi itu, produk Malaysia di pasar raya tersebut telah meningkat 50 peratus dan produk makanan oleh usahawan di bawah FAMA turut mendapat sambutan dan menerima tempahan. 

Sementara itu, Duta Malaysia ke Belanda Datuk Nadzirah Osman, yang merasmikan program tersebut, berkata kerjasama strategik adalah penting dalam memastikan lebih banyak produk makanan Malaysia diimport ke Belanda.

“Walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19, program seperti MFFW telah diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Belanda,” katanya.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan MAFI, Khalid Ibrahim pula berkata penggunaan media sosial dan kehadiran penulis blog dan pengulas penting dalam menyokong usaha mempromosi makanan dan buah-buahan Malaysia, bukan sahaja di Belanda malah di seluruh Eropah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan