AM

UNIMY RAIKAN TIGA SAMBUTAN PADA KONVOKESYEN KEDUA

01/12/2021 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis -- University Malaysia of Computer Science and Engineering (UNIMY) meraikan tiga sambutan pada majlis konvokesyen kedua yang dipengerusikan Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohd Razali Muhamad di Cyberjaya hari ini.

UNIMY dalam kenyataan di sini memaklumkan konvokesyen kedua itu menandakan kejayaan universiti berkenaan dengan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat kepada Salah Salem Omair Al Shamsi daripada LIWA Investment Holdings (UAE) dan Datuk Mohammad Hardee Ibrahim daripada SME Bank (Malaysia).

Mohd Razali dalam kenyataan itu berkata penganugerahan berkenaan diberi sebagai pengiktirafan kepada pencapaian mereka yang menjadi contoh dan faktor pendorong kepada UNIMY dan pelajar mereka.

“Kami mengalu-alukan penerima perintis bagi Ijazah Doktor Kehormat ini ke dalam keluarga UNIMY dan berharap dapat meningkatkan inisiatif UNIMY melalui pengetahuan luas mereka dalam keusahawanan dan perniagaan,” katanya.

Pada majlis konvokesyen itu, seramai 391 graduan daripada pelbagai bidang yang menamatkan pengajian pascasiswazah, ijazah, diploma dan pengajian asasi menerima sijil masing-masing.

Sementara itu, pada majlis sama, UNIMY mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Serba Dinamik Holdings Berhad Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah sebagai Pro-Canselornya.

Di bawah kepimpinan Mohd Abdul Karim, kumpulan syarikat itu berkembang daripada kontraktor tempatan dalam penyedia perkhidmatan peralatan berputar kepada kuasa besar antarabangsa dalam penyelesaian kejuruteraan untuk industri luas dengan kehadiran di 25 negara di enam benua.

Mohd Abdul Karim yang juga Pengerusi Sarawak Consolidated Industrial Berhad, Kumpulan Powernet Berhad dan Bion PLC, UK serta ahli Institut Kejuruteraan Malaysia dan Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan ASEAN, telah memenangi banyak anugerah dan penghargaan di peringkat tempatan dan antarabangsa atas pencapaiannya dalam Serba Dinamik dan sebagai seorang industrialis berjaya.

Satu lagi sambutan yang diadakan pada majlis konvokesyen itu ialah penyampaian hadiah kepada pelajar terbaik universiti yang menyaksikan tiga pelajar menerima Anugerah Canselor bagi mengiktiraf prestasi cemerlang mereka dalam akademik dan aktiviti kokurikulum.

Dua pelajar pula menerima Anugerah Naib Canselor, sembilan orang menerima Anugerah Kecemerlangan manakala Anugerah Industri daripada rakan industri UNIMY diberikan kepada tujuh pelajar.

“Penerima anugerah melahirkan rasa gembira dan berpuas hati apabila majlis konvokesyen itu disiarkan secara langsung bagi membolehkan ahli keluarga dan rakan berkongsi kegembiraan pada majlis itu,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan