BERITA COVID–19   Singapura mudahkan rejim saringan VTL udara dan darat bermula Isnin | COVID: 3,764 kes dilaporkan hari ini - KP Kesihatan | Pengimbas suhu dikeluarkan daripada SOP wajib - Khairy | Thailand kembalikan perjalanan tanpa kuarantin bulan hadapan | Ketetapan baharu solat Jumaat setelah mendapat nasihat Pengarah Kesihatan Selangor | 
EKONOMI

Serba Dinamik catat kerugian bersih RM42.11 juta

30/11/2021 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov  -- Serba Dinamik Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM42.11 juta untuk suku pertama berakhir 30 Sept 2021 (tahun kewangan 2022), selepas diseret oleh perbelanjaan operasi yang lebih tinggi termasuk kos kewangan dan kerugian dalam pertukaran wang asing.

Perolehan dalam suku yang ditinjau berada pada RM799.35 juta, kata penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

Syarikat itu telah menukar tahun kewangannya kepada 30 Jun dari 31 Dis, oleh itu, tidak akan ada maklumat kewangan perbandingan yang tersedia bagi tempoh kewangan berakhir 30 Sept 2021. 

Dalam kenyataan berasingan, Serba Dinamik berkata operasi dan penyelenggaraan (O&M) merupakan penyumbang terbesar kepada perolehan dalam suku pertama tahun kewangan 2022 iaitu RM742.9 juta atau 92.9 peratus daripada jumlah hasil.

"Ini disebabkan oleh aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) termasuk pemeriksaan, pembaikan serta penyelenggaraan (IRM), yang sebahagian besarnya disumbangkan daripada operasi di rantau Timur Tengah seperti Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), diikuti oleh Malaysia," katanya. 

Menurut kumpulan itu, segmen kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) merupakan penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan dengan RM52.3 juta atau 6.5 peratus daripada jumlah hasil.

Sementara itu, segmen teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta segmen pendidikan dan latihan (E&T) masing-masing menyumbangkan hasil sebanyak RM1.8 juta dan RM2.4 juta.

Daripada segi geografi, Serba Dinamik berkata rantau Timur Tengah merupakan penyumbang terbesar kepada perolehan, menyediakan RM559.2 juta atau 70.0 peratus daripada jumlah pendapatan bagi suku pertama tahun kewangan 2022, diikuti dengan rantau Asia Tenggara yang menyumbang RM231.1 juta atau 28.9 peratus daripada jumlah hasil. 

"Rantau Asia Tengah dan Selatan menyumbang RM6.2 juta atau 0.8 peratus daripada jumlah hasil, manakala baki sumbangan datang dari United Kingdom sebanyak RM2.9 juta," katanya. 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah ketika mengulas mengenai prestasi berkata COVID-19 bermula sebagai krisis kesihatan tetapi ia kemudian bertukar menjadi krisis ekonomi global yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kesan gelombang krisis ini yang melanda global masih dirasai dan tidak mungkin impak sebenar wabak ini dapat diukur sehingga keadaan stabil," katanya. 

Sejajar dengan industri yang bergerak ke hadapan sebagai respons kepada penerapan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), Abdul Karim berkata Serba Dinamik sedang berusaha untuk menjana nilai kelestarian dan membina keseluruhan kemampanan sambil mengintegrasikan teknologi maklumat (IT) serta perniagaan aeroangkasa ke dalam perniagaan terasnya.

"Walaupun terdapat asas-asas positif, persekitaran perniagaan kumpulan kekal mencabar berikutan krisis yang sedang dialami oleh kumpulan akibat audit berkanun yang tidak lengkap. 

"Kumpulan sedang berusaha untuk menyelesaikan isu-isu ini demi kebaikan semua pihak berkepentingan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan