BERITA COVID–19   Singapura catat lebih 5,000 kes COVID-19 harian pada 27 Okt | NS minta Kerajaan Persekutuan timbang beri dos penggalak kepada Exco, ADUN | Hanya 1.6 peratus daripada 6,148 kes baharu COVID kategori tiga, empat dan lima - KP | Tiada kes COVID-19 di Penjara Reman P.Pinang sejak September | Permohonan moratorium di bawah PEMULIH masih dibuka - MOF | 
AM

PRN Melaka: UMNO putus agihan kerusi pada mesyuarat MT akan datang

15/10/2021 12:32 AM

KUALA LUMPUR, 14 Okt  -- Isu agihan kerusi dan kerjasama antara parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan datang.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini termasuk kerjasama antara parti itu dengan PAS menerusi Muafakat Nasional serta Bersatu. 

Beliau berkata bagaimanapun, segala perbincangan bergantung kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan PRN itu. 

"Kita menanti penuh debaran keputusan SPR Isnin ini. Apa jua keputusannya kita terima dengan hati terbuka," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Bangunan Dato Onn di sini malam ini. 

Mesyuarat itu, yang berlangsung lebih tiga jam, dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.       

Ahmad juga berkata mesyuarat MT UMNO turut menetapkan agar jentera parti di setiap peringkat membuat persiapan rapi bagi menghadapi PRN itu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan SPR. 

Beliau berkata mesyuarat itu turut mengesahkan pengguguran keahlian UMNO terhadap Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan. 

"MT turut bersetuju mulai 15 Okt  hingga 30 Nov, persidangan UMNO cawangan akan diadakan dan diharapkan agar mesyuarat cawangan bagi Wanita, Pemuda dan Puteri dapat berjalan lancar dengan mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan," katanya. 

Beliau berkata Majlis Kerja Tertinggi parti turut menyokong keputusan kerajaan berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas bagi menyiasat kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, menyemak semula kes Pulau Batu Puteh serta menyiasat dakwaan terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas. 

Sementara itu, MT UMNO turut meluahkan rasa kecewa terhadap isu penyebaran rakaman audio yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama seorang pemimpin politik dan meminta agar siasatan berhubung perkara tersebut dilakukan. 

Timbalan Menteri Komunikasi Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata siasatan akan dibuat untuk mengenal pasti sama ada terdapat pihak daripada syarikat telekomunikasi turut terlibat namun menambah bahawa Kementerian Komunikasi dan Multimedia tidak berhasrat untuk membuat laporan polis berhubung isu itu setakat ini. 

"Perkara ini sangat memalukan… jadi KKMM akan melihat sama ada syarikat-syarikat ini terlibat dalam usaha merakam suara-suara ini. Kita tak nak berlaku lagi pada masa depan dan cari jalan penyelesaian bagaimana nak cegah," katanya.        

 -- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan