EKONOMI

MATRADE BANTU 13 PKS PERLUAS PERDAGANGAN DI INDONESIA MELALUI MISI SECARA MAYA

07/10/2021 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah membantu 13 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam Misi Peningkatan Eksport (EAM) ke Surabaya, Indonesia untuk membantu mereka mengekalkan perniagaan dan operasi semasa pandemik.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata EAM ke bandar kedua terbesar di Indonesia itu yang diadakan secara maya pada 20 hingga 22 Sept lepas, menawarkan peluang kepada syarikat untuk mengembangkan kehadiran jenama mereka di pasaran dan membina kerjasama perniagaan dengan komuniti perniagaan Indonesia.

“Sebanyak 76 mesyuarat perniagaan telah diatur melibatkan potensi jualan melebihi RM49.3 juta yang direkodkan di Blibli.com - satu daripada lima platform e-dagang utama di Indonesia, antara rakan peneraju yang berhasrat menjalin kerjasama dengan syarikat Malaysia semasa program itu,” katanya.

Sesi taklimat melalui webinar turut dianjurkan dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia untuk melengkapkan syarikat Malaysia dengan maklumat yang relevan mengenai pendaftaran produk dan perniagaan, dan syarat kemasukan ke pasaran Indonesia.

Pengarah MATRADE bagi ASEAN dan Oceania Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata Indonesia menawarkan potensi pasaran dan peluang perniagaan yang luas melibatkan hampir keseluruhan sektor ekonomi, dengan penduduk melebihi 260 juta.

“Perubahan corak penggunaan dalam kalangan pengguna di Indonesia adalah ketara berikutan peningkatan minat terhadap produk dan perkhidmatan global yang diimport dari seluruh dunia, termasuk Malaysia yang dapat dilihat di negara itu,” katanya.

Beliau berkata dengan norma baharu perniagaan yang tidak lagi sama seperti sebelum ini, maklum balas yang diterima daripada pembeli di Indonesia menunjukkan masih terdapat permintaan yang kukuh bagi produk dan perkhidmatan Malaysia.

“Berikutan peningkatan populasi golongan muda dan kelas pertengahan di Indonesia yang memacu trend pembelian, syarikat Malaysia boleh memanfaatkan pelbagai platform e-dagang rentas sempadan seperti Blibli.com dan Bukalapak bagi akses ke pasaran Indonesia tanpa perlu hadir secara fizikal ke negara itu,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan