EKONOMI

EXIM BANK LANTIK AZMAN MAHMUD SEBAGAI PENGERUSI

01/10/2021 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt -- Datuk Azman Mahmud yang telah bersara sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) awal tahun ini dilantik sebagai Pengerusi Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) berkuat kuasa hari ini.

Institusi kewangan pembangunan milik kerajaan itu berkata beliau menggantikan Datuk Dr Feizal Mustapha yang menamatkan tempoh perkhidmatan sebagai pengerusi bank itu awal tahun ini.

Azman yang berkhidmat lebih daripada tiga dekad di MIDA, mempunyai banyak pengalaman terutama dalam mendorong pelaburan dan peluang perniagaan yang berpotensi dengan memberi perhatian khusus kepada penerapan kerja berprestasi tinggi dan berorientasikan hasil, kata EXIM Bank dalam satu kenyataan hari ini.

"Kepemimpinan kolaboratifnya dalam ekosistem korporat dan pengetahuan luasnya dalam industri pelaburan, sudah pasti akan menempatkannya dalam keadaan baik untuk membawa bank itu kepada landasan yang betul, ia memenuhi mandatnya sebagai pemodal dan penasihat perniagaan global pilihan," katanya.

Selain daripada memegang jawatan sebagai Pengerusi EXIM Bank, Azman juga adalah Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd, Privasia Technology Bhd, SME Aerospace (SMEA) Sdn Bhd dan UPM Holdings Sdn Bhd.

"Beliau juga memegang pelbagai jawatan dalam lembaga pengarah di GDEX Bhd dan Kulim Technology Park Corp selain menjadi ahli kepada beberapa organisasi yang berkaitan dengan pembangunan perniagaan dan pelaburan seperti Invest Sabah Bhd dan Penjana Kapital Sdn Bhd," katanya. tambah.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan