AM

TERIMAAN PELANCONGAN JATUH 71.2 PERATUS KEPADA RM52.4 BILION TAHUN LEPAS - KETUA PERANGKAWAN

23/09/2021 07:41 PM

KUALA LUMPUR, 23 Sept -- Terimaan pelancongan Malaysia merosot 71.2 peratus kepada RM52.4 bilion pada 2020 berbanding RM182.1 bilion pada tahun sebelumnya, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata 2020 merupakan tahun kedua terimaan pelancongan domestik mengatasi terimaan pelancong luar masuk ke dalam negara dengan sumbangan sebanyak 73.8 peratus atau RM38.6 bilion.

“Pada masa yang sama, perbelanjaan outbound (ke luar) mencatatkan penurunan sebanyak 61.7 peratus dengan jumlah RM 17.1 bilion,” katanya dalam kenyataan mengenai Akaun Satelit Pelancongan Malaysia 2020 yang diumumkan Jabatan Perangkaan hari ini.

 Mohd Uzir berkata sepanjang 2020, industri pelancongan menjana RM199.4 bilion Nilai Ditambah Kasar Industri Pelancongan (GVATI) dengan menyumbang sebanyak 14.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Dari segi nilai, sumbangan ini dilihat berkurang sehingga menyamai prestasi yang direkodkan pada 2015, susulan kawalan pengoperasian aktiviti ekonomi oleh kerajaan terhadap sektor pelancongan dalam mengawal penularan COVID-19. GVATI merekodkan penyusutan 17.1 peratus pada 2020 berbanding pertumbuhan 9.1 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Mohd Uzir berkata sumbangan pelancongan langsung kepada ekonomi negara (TDGDP) didapati terjejas teruk dengan mencatatkan penurunan sebanyak 72 peratus, namun guna tenaga dalam industri pelancongan merekodkan penyusutan pada kadar yang lebih rendah iaitu 2.9 peratus antara lain disumbangkan oleh inisiatif Subsidi Gaji dan Upah bagi memastikan pengusaha pelancongan dapat mengekalkan pekerja.

Beliau berkata secara keseluruhan, sektor pelancongan pada 2020 masih mampu menyerap tekanan tinggi daripada permintaan yang lemah memandangkan penggunaan dalam aktiviti bukan pelancongan turut membantu dalam menyederhanakan kesan penularan pandemik terburuk ini kepada ekonomi negara yang digambarkan melalui prestasi GVATI.

“Usaha menggiatkan aktiviti pelancongan domestik perlu menjadi fokus dalam memulihkan sektor pelancongan negara bagi menangani sekatan berpanjangan di pintu masuk sempadan negara yang masih berkuat kuasa dan menjejaskan potensi pendapatan daripada pelancong asing,” katanya.

Mengenai prospek sektor pelancongan, Ketua Perangkawan itu berkata industri pelancongan Malaysia harus terus memberi fokus kepada digitalisasi dan pengembangan produk dan infrastruktur pintar sebagai inisiatif untuk membangun masa depan yang lebih berdaya tahan dan lestari di Malaysia seperti disarankan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Beliau berkata Dasar Pelancongan Nasional (NTP) 2020-2030 yang dilancarkan pada 23 Dis 2020 oleh kerajaan akan memastikan kelangsungan industri pelancongan negara dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan di seluruh dunia.

Antara Strategi Transformasi yang digariskan dalam NTP adalah menerapkan 'Smart Tourism' yang bertujuan untuk membawa industri ke tahap seterusnya dengan memanfaatkan peluang di era digital.

“Kemajuan dalam teknologi digital telah mempengaruhi cara orang melakukan perjalanan serta penggiat industri pelancongan mengubah cara mereka beroperasi.

“Di samping itu, ini akan membina semula keyakinan melalui penjenamaan semula dan membangunkan rancangan komunikasi untuk menyampaikan mesej Malaysia sebagai destinasi perjalanan yang selamat dan dipercayai,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sejak Februari 2021 membolehkan kerajaan membuka semula sektor sosial dan ekonomi secara berperingkat dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara yang komprehensif mengikut fasa di seluruh negara.

Susulan daripada ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah beralih ke pasaran domestik bagi membantu memacu aktiviti pelancongan melalui pembukaan gelembung pelancongan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang khusus, dengan Langkawi dipilih sebagai projek rintis bermula 16 Sept.

Mohd Uzir berkata di peringkat dunia,  Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bersatu (UNWTO) meramalkan sektor pelancongan akan kembali kepada prestasi prapandemik pada 2024 dengan sebahagian besarnya dipacu oleh aktiviti pelancongan domestik. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan