BERITA COVID–19   PKPD di Pos Betau, Pahang mulai rabu ini - MKN | Kerajaan wajar tambah jumlah bantuan khas COVID - senator | COVID: 5,434 kes hari ini, kes harian kekal trend penurunan - KP Kesihatan | KKM cadang bersemuka dengan kumpulan antivaksin | COVID: 93.8 peratus populasi dewasa Malaysia kini lengkap divaksin | 
EKONOMI

Syarikat E&E digesa rebut peluang, pertingkat kedudukan dalam rantaian nilai - MIDA

15/09/2021 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggesa kalangan syarikat elektrikal dan elektronik (E&E) untuk mempertingkat kedudukan dalam rantaian nilai, terutama bagi mengurangkan jurang ekosistem bidang berkaitan.

Ini melibatkan bidang seperti reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembungkusan terkini, perkhidmatan kejuruteraan dan pengujian serta khidmat berkaitan pembuatan elektronik.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arham Abdul Rahman berkata penggiat industri perlu bertindak memanfaatkan aktiviti rekaan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijadikan antara strategi bagi mempertingkat kedudukan dalam rantaian nilai.

“Usaha mampan ini boleh mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi-teknologi import dan pada masa sama mewujudkan kelebihan Malaysia yang khusus dan tersendiri,” katanya ketika menyampaikan ucap tama sesi webinar bertajuk ‘Seizing the Next Wave of E&E Investment into Malaysia’ (Memanfaatkan Gelombang Seterusnya Pelaburan E&E Ke Dalam Malaysia) di sini, hari ini.

Antara panelis program itu ialah Pengarah Urusan Negara Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd S Yogannaidu, Naib Presiden Kanan merangkap Pengarah Urusan Infineon Technologies Kulim Sdn Bhd Ng Kok Tiong dan Naib Presiden Kanan Pemasangan dan Pengujian Global Micron Technology Inc Gursharan Singh.

Sesi webinar itu dikendalikan oleh Naib Presiden dan Pengarah Urusan Operasi Pembuatan First Solar Malaysia Sdn Bhd Datuk P’ng Soo Hong.

Selain itu, Arham turut menekankan kepentingan aktiviti R&D sebagai mekanisme utama bagi tujuan pempelbagaian serta kemajuan berkaitan.

“MIDA misalnya amat berharap untuk melihat syarikat-syarikat E&E ini dapat mempertingkat jaringan digital masing-masing dengan menggunakan program Lighthouse,” katanya.

Beliau merujuk kepada kalangan penggiat industri yang berjaya melaksanakan Teknologi Pembuatan Pintar, sekali gus meraih manfaat kewangan dan pengoperasian yang memberangsangkan.

 Arham berkata program Lighthouse bertindak sebagai panduan kepada rantaian bekalan dan syarikat domestik memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan, penghasilan bahan tambahan dan analisis termaju untuk menangani cabaran dalam sistem pengeluaran sedia ada.

Beliau berkata pandemik COVID-19 yang di luar jangkaan, disusuli sekatan pergerakan orang ramai, barangan dan pembekal teknologi, telah menjejaskan syarikat merentasi seluruh industri selain memaksa mereka meneliti semula amalan perniagaan semasa.

Ini termasuk melaksanakan sistem pengeluaran yang pantas dan secara jarak jauh menerusi teknologi Industri 4.0 bagi mengelakkan gangguan selanjutnya.

Malaysia juga merupakan hab pengeluaran utama global bagi industri E&E dengan menghasilkan 13 peratus daripada output semikonduktor global yang menyumbang 40 peratus daripada eksport negara ini.

“Pada separuh pertama 2021, sektor E&E mencatatkan pelaburan diluluskan bernilai RM47.1 bilion iaitu melonjak 843 peratus daripada tempoh sama tahun lepas,” katanya.

Menurut Arham, pelaburan asing menerajui pelaburan diluluskan dalam industri itu dengan menyumbang hampir 98 peratus atau RM46 bilion.

“Projek-projek yang diluluskan ini dijangka mewujudkan lebih 9,700 pekerjaan baharu termasuk jawatan kemahiran untuk jurutera, pengawal kualiti khusus dan juruteknik berkemahiran tinggi,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata Malaysia juga perlu berada di barisan hadapan untuk merebut peluang dalam sektor E&E, terutama segmen semikonduktor memandangkan lebih banyak syarikat global ternyata berusaha memanfaatkan Malaysia bagi membangunkan teknologi baharu, penyertaan dalam produk tambahan dan meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) Datuk Seri Wong Siew Hai berkata Malaysia pada masa ini merupakan hab penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global berikutan kira-kira tujuh peratus daripada perdagangan semikonduktor global masuk melalui Malaysia.

“Pada tahun lepas, eksport E&E Malaysia mencecah RM386 bilion, merangkumi 39.4 peratus daripada jumlah eksport Malaysia. Dalam enam bulan pertama tahun ini, eksport E&E meningkat 28 peratus dari tahun ke tahun.

"Menurut perangkaan perdagangan semikonduktor global, pasaran semikonduktor di seluruh dunia dijangka berkembang sebanyak 25 peratus tahun ini dan 10 peratus pada tahun berikutnya, masing-masing kepada US$551 bilion (US$1 = RM4.16) serta US$606 bilion,” katanya.

Malah, Wong berkata prospek sektor itu kekal positif dan Malaysia mampu memberikan penawaran yang lebih baik susulan lokasi dan pengalaman hampir 50 tahun dalam industri E&E.

Yogannaidu pula berkata, kerajaan dan penraju industri perlu merebut peluang dengan meningkatkan daya tarikan negara ini sebagai destinasi pelaburan E&E global berikutan pertumbuhan semikonduktor dalam jangka panjang.

Sementara itu, Ng berkata Malaysia mempunyai kelebihan kos serta sokongan dalam bentuk persekitaran ekonomi yang terus dilihat sebagai tarikan untuk Infineon Technologies Kulim mengembangkan operasi sedia ada dan kemampuan R&D syarikat itu dalam teknologi baharu.

"Kami yakin kehadiran jangka panjang syarikat ini akan mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan