BERITA COVID–19   PKPD di Pos Betau, Pahang mulai rabu ini - MKN | Kerajaan wajar tambah jumlah bantuan khas COVID - senator | COVID: 5,434 kes hari ini, kes harian kekal trend penurunan - KP Kesihatan | KKM cadang bersemuka dengan kumpulan antivaksin | COVID: 93.8 peratus populasi dewasa Malaysia kini lengkap divaksin | 
EKONOMI

10,000 produk dan perkhidmatan akan dapat MyHIJAU Mark menjelang 2023 - MGTC

08/09/2021 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept -- Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) menjangka 10,000 produk dan perkhidmatan akan memperoleh Mark MyHIJAU menjelang 2023.

MyHIJAU Mark adalah inisiatif kerajaan untuk mempromosikan sumber serta pembelian produk hijau dan perkhidmatan di Malaysia.

MGTC, agensi kerajaan yang diberi mandat untuk memimpin negara dalam bidang pertumbuhan hijau, mitigasi perubahan iklim dan ketahanan dan penyesuaian iklim, mengharapkan supaya lebih banyak syarikat mendaftar di bawah program itu dan memanfaatkan kemudahan disediakan kerajaan.

Sebanyak 7,498 produk dan perkhidmatan telah didaftarkan antara tahun 2015 dan 2020 dan disenaraikan di bawah Direktori MyHIJAU.

Direktori tersebut adalah platform dalam talian untuk pengedar, kementerian dan orang ramai untuk mencari maklumat mengenai semua produk dan perkhidmatan hijau yang telah diiktiraf di bawah MyHIJAU Mark.

Eksekutif Kanan Pusat Pengesahan dan Piawaian Hijau MGTC, Nur Syahira Abdul Rahim berkata produk dan perkhidmatan hijau yang berdaftar di bawah MyHIJAU Mark akan disenaraikan dalam Direktori MyHIJAU sebagai sumber untuk perolehan hijau kerajaan termasuk Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) dan Pembelian Persendirian Hijau (GPP).

“Untuk menyokong program MyHIJAU Mark, kerajaan telah memperkenalkan insentif cukai teknologi hijau seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) (Aset/Projek) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE)(Perkhidmatan).

"Syarikat yang membeli produk berdaftar dengan MyHIJAU Mark termasuk peralatan dan sistem layak mendapat GITA, sementara penyedia perkhidmatan hijau baharu yang berdaftar dengan Mark MyHIJAU layak mendapat GITE," katanya semasa sesi webinar mengenai Insentif Kerajaan dalam Sektor Teknologi Hijau di International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia 2021 (IGEM 2021) yang diadakan secara maya.

Sementara itu, Pengurus Pusat Piawaian dan Pengesahan Hijau MGTC, Rosmah Mamak Rapi berkata GITA (Aset) layak bagi syarikat yang melakukan pelaburan dalam aset atau projek khusus yang mempromosikan kelestarian dan persekitaran hijau.

Rosmah berkata pengesahan untuk GITA (Aset) akan berdasarkan aset yang didaftarkan di bawah MyHIJAU Mark dan disenaraikan di bawah Direktori MyHIJAU.

"Ini juga layak untuk perusahaan yang telah melakukan perbelanjaan modal (capex) diperlukan dalam pelaburan teknologi hijau.

"Syarat untuk Aset GITA adalah aset tersebut harus dimiliki oleh syarikat dan perniagaan yang dijalankan di Malaysia, digunakan untuk penggunaan sendiri dan bukan untuk menjana pendapatan dan capex mestilah aset yang layak ditetapkan Kementerian Kewangan yang mendapat penegsahan daripada MGTC,” katanya.

Selain itu, pengesahan untuk Projek GITA memerlukan 60 peratus peralatan atau aset utama diiktiraf dan didaftarkan di bawah MyHIJAU Mark atau mempunyai pensijilan produk yang diiktiraf oleh MGTC.

“Projek ini harus memberi kesan positif kepada alam sekitar seperti pengurangan pelepasan karbon, pengurangan jumlah sampah dan penjimatan bahan bakar.

"Projek GITA adalah untuk permohonan diterima oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dari 1 Januari, 2020 hingga 31 Disember, 2023 dan ia harus diserahkan kepada MIDA sebelum capex yang memenuhi syarat pertama berlaku dan juga projek tersebut mendapat surat persetujuan bersyarat daripada MIDA, ”katanya.

-- BERNAMA

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan