EKONOMI

STV, MIDA PERKUKUH KERJASAMA PERNIAGAAN JANGKA MASA PANJANG DALAM PROJEK TEKNOLOGI

06/09/2021 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept -- SIRIM Tech Venture Sdn Bhd (STV), anak syarikat milik penuh SIRIM Bhd telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bertujuan memupuk kerjasama perniagaan jangka panjang dalam projek berasaskan teknologi.

Melalui MoU itu, STV berharap dapat memanfaatkan hubungan perniagaan MIDA bersama pelabur, syarikat besar tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana yang ingin meneroka inovasi; sementara MIDA akan memudahkan petunjuk perniagaan kepada STV bagi projek yang berasaskan teknologi.

Selain itu, MIDA juga akan memberikan nasihat kepada STV mengenai pembiayaan dan insentif kerajaan, kata SIRIM dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata kerjasama ini  akan memberikan MIDA akses langsung kepada penyelesaian teknologi yang terdapat di SIRIM untuk dimanfaatkan oleh industri, serta pelaburan ke atas teknologi baharu dan masa depan melalui pelbagai pembiayaan untuk penggunaan produk atau teknologi bagi mencapai pertumbuhan yang dipacu dengan teknologi.

Beliau berkata melalui MoU itu penggunaan teknologi yang boleh diterokai meliputi bidang Industri 4.0, pembuatan mesin dan peralatan dan tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan dan teknologi persekitaran.

Ahmad Sabirin berkata STV mampu menyediakan khidmat nasihat dan bantuan teknikal kepada industri tempatan yang berpotensi dalam teknologi, mengesyorkan cadangan untuk penerapan teknologi SIRIM, penyelesaian inovatif atau penggunaan teknologi lain kepada kumpulan sasaran tertentu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan