EKONOMI

TRI-MODE PEROLEH KELULUSAN INSENTIF CUKAI, PELESENAN DARIPADA MIDA

25/08/2021 07:38 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos  -- Tri-Mode System (M) Bhd, penyedia perkhidmatan logistik bersepadu hari ini mengumumkan telah menerima kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk insentif cukai perkhidmatan logistik bersepadu (ILS) dan status perkhidmatan logistik bersepadu antarabangsa (IILS).

Dalam satu kenyataan, ia berkata insentif cukai ILS membolehkan Tri-Mode menikmati pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus daripada pendapatan berkanun selama lima tahun melalui status perintis insentif cukai (PS) yang diluluskan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986.

  Di bawah terma dan syarat yang ditetapkan dalam surat kelulusan, Tri-Mode harus memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus ekuitinya dipegang oleh rakyat Malaysia, mengekalkan penyediaan perkhidmatan logistik bersepadu seperti penghantaran barang, pengangkutan dan pergudangan serta menjalankan sekurang-kurangnya salah satu aktiviti nilai tambah seperti pengurusan pengedaran dan rantaian bekalan, katanya.

Bagi status IILS, ia membolehkan Tri-Mode memiliki 100 peratus pemilikan ekuiti dalam mana-mana lesen ejen penghantaran barang yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Tri-Mode pada masa ini mengendalikan gudang seluas 85,485 kaki persegi yang telah berisi sepenuhnya. Gudang lain yang berkeluasan 28,000 kaki persegi sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku keempat 2021.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan