AM

BERITA RINGKAS BERNAMA: 29 JULAI

30/07/2021 12:01 AM

KEANGGOTAAN SKUAD PRIHATIN NEGARA DITAMBAH, PERCEPAT AGIHAN BPN 

KUALA LUMPUR -- Penambahan lebih 13,000 sukarelawan Skuad Prihatin Negara bagi menampung keanggotaan sedia ada seramai 5,314 orang adalah bertujuan mempercepat agihan Bakul Prihatin Negara (BPN) yang permohonannya kini sudah mencecah 342,432 sehingga semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata daripada jumlah itu, Selangor merekodkan permohonan tertinggi iaitu sebanyak 81,182.

“Melihat keperluan untuk agihan segera BPN, pihak kementerian sudah buat tindakan intervensi menambah kekuatan Skuad Prihatin Negara menjadikan jumlah terkini seramai 18,726 orang.

“Setakat ini, sebanyak 28,983 BPN telah diagihkan yang memanfaatkan seramai 103,549 penerima,” katanya selepas menyantuni tiga keluarga yang terdiri daripada ibu tunggal dan warga emas di sini hari ini.

-- BERNAMA

 

EAIC MENJUNJUNG KASIH TITAH SULTAN SELANGOR

KUALA LUMPUR -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti rasuah atau pecah amanah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik pegawai kerajaan di negeri itu.

EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan meningkatkan usaha memperkasa budaya berintegriti dalam kalangan pegawai penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC di Selangor dan seluruh negara amnya.

"EAIC menyanjung tinggi pendirian dan ketegasan Sultan Sharafuddin dalam memastikan aktiviti rasuah atau pecah amanah di Selangor dapat dibanteras,” katanya.

-- BERNAMA

 

ANJUR KENDURI KAHWIN, TUAN RUMAH DIKOMPAUN RM4,000

ALOR SETAR -- Sebuah keluarga di Kampung Padang, Mukim Gajah Mati dekat Pokok Sena dikompaun RM4,000 selepas didapati mengadakan majlis kenduri kahwin hari ini. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir dalam kenyataan memaklumkan tindakan kompaun dikeluarkan kepada pemilik rumah selaku penganjur majlis kerana mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara yang sedang berkuat kuasa.

"Serbuan dilakukan oleh pasukan pemantau Op COVID Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar setelah menerima aduan daripada orang awam pada 12.45 tengah hari berkaitan penganjuran majlis perkahwinan di kampung itu yang turut dihadiri beberapa penduduk kampung," katanya.

Beliau berkata kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 4 Akta 342 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 1988," katanya. 

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan