BERITA COVID–19   Operasi Thai AirAsia digantung sementara pada Ogos susulan larangan penerbangan domestik | COVID: Kontak rapat terus jadi penyumbang tertinggi kes harian Sabah | Risiko penularan COVID, KKM cadang semua mesyuarat di Parlimen ditangguh dua minggu | Kes COVID-19 di Thailand melepasi 600,000 | COVID-19: Kes kategori 4 dan 5 berkurangan di Sarawak | 
AM

Sultan Selangor zahir penghargaan kepada petugas beri vaksin pada Aidiladha

22/07/2021 10:58 PM

SHAH ALAM, 22 Julai -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan khas kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan di hospital serta pusat pemberian vaksin (PPV) COVID-19 di seluruh negeri ini yang bertungkus lumus bertugas pada Aidiladha, Selasa lepas.

Menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini, baginda menzahirkan rasa bangga dengan kegigihan pihak terlibat dalam usaha mempercepat suntikan vaksinasi kepada rakyat Selangor dan mendoakan agar pengorbanan mereka mendapat ganjaran setimpal.

“Sehingga 21 Julai (semalam), kadar vaksinasi rakyat Selangor yang memperoleh satu dos suntikan telah mencecah 46.9 peratus bersamaan 2.95 juta dos manakala 15.27 peratus rakyat negeri ini telah melengkapkan dos vaksinasi masing-masing,” menurut hantaran tersebut.

Sultan Sharafuddin turut menegaskan kadar vaksinasi COVID-19 di Selangor perlu diperluas bagi mengurangkan kadar kematian yang mencecah 84 kematian (21 Julai).

Dalam pada itu, baginda turut menyeru umat Islam di Selangor agar menghayati dan memahami intipati khutbah Aidiladha yang memberi penekanan dalam mengukuh perpaduan dan persaudaraan ummah.

Baginda bertitah antara perkara yang boleh diambil iktibar berdasarkan khutbah Aidiladha yang bertajuk ‘Persaudaraan Umat Islam: Pengalaman Ibadah Haji dan Korban’ adalah matlamat pelaksanaan ibadah haji dan korban yang mengajar umat Islam untuk terus mengukuhkan persaudaraan.

Sultan Sharafuddin bertitah sebagai umat Islam yang bersaudara, seharusnya mereka mengelakkan persengketaan, menjauhi fitnah dan berburuk sangka sesama mereka.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan