BERITA TERGEMPAR   Former inspector general of police (IGP) Tun Mohammed Hanif Omar died at 2.15 am today - Son | Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar meninggal dunia pada 2.15 pagi tadi - Anak | 
EKONOMI

MDEC UMUM STRATEGI PELABURAN DIF5, PACU EKONOMI DIGITAL MALAYSIA

19/07/2021 03:50 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai  -- Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) hari ini mengumumkan Strategi Pelaburan Digital Future5 (DIF5) yang menumpukan lima teras utama untuk menarik pelaburan serta memajukan ekonomi digital negara selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

Dalam kenyataannya, MDEC berkata pelan lima tahun (2021 hingga 2025) itu dirangka sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12 yang menyasarkan untuk menarik pelaburan pelaburan digital berkualiti tinggi bagi memacu pertumbuhan baharu bidang tersebut.

Strategi DIF5 itu menyasarkan pelaburan RM50 bilion dalam ekonomi digital, mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam industri digital, menarik 50 syarikat teknologi Fortune500 untuk beroperasi di Malaysia dan membolehkan lima syarikat ‘unikorn’ (syarikat pemula niaga baharu yang bernilai US$1 bilion ke atas) beroperasi di negara ini.

Turut disasarkan adalah fokus ke atas masing-masing lima sektor industri utama, teknologi utama, teknologi baharu muncul dan perkhidmatan perniagaan global digital.

“Lima industri yang telah dikenal pasti sebagai pemacu utama adalah Teknologi Agritani, Teknologi Kesihatan, Ekonomi Digital Islam dan Teknologi Kewangan, Teknologi Pendidikan dan CleanTech (Teknologi Bersih).

“Usaha menarik dan memacu pelaburan dalam lima teknologi utama memudahkan pertumbuhan sektor terbabit seperti pengkomputeran awan, pusat data, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber dan peralatan kandungan digital.

“Strategi DIF5 itu akan turut memberi fokus ke atas lima teknologi utama baharu muncul seperti blockchain, teknologi dron, kelebihan pengkomputeran atau edge computing, realiti maju dan robotik paling maju bagi mendorong inovasi selain membolehkan Malaysia di barisan hadapan evolusi teknologi digital serta pembangunan ekonomi digital yang bersedia untuk masa depan,” katanya.

Naib Presiden Kanan Pelaburan dan Jenama MDEC Raymond Siva berkata agensi tersebut telah meningkatkan usaha untuk menggerakkan ekonomi digital negara dengan lebih maju menerusi penubuhan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) iaitu platform kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan pelaksanaan strategi DIF5.

“Negara akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi digital dan pelaburan dalam sektor terbabit yang belum pernah dicatat sebelum ini tetapi kita mahu melaksanakannya dengan lebih berstruktur.

“Kita mempunyai kemampuan, kapasiti dan kemudahan sewajarnya bagi memacu ekonomi digital Malaysia. Malah, menerusi Strategi DIF5 ini, MDEC semakin mempunyai sinergi dengan usaha dan inisiatif untuk mendorong kemajuan negara ke arah mencapai sasaran MyDIGITAL,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan