BERITA COVID–19   Persediaan peralihan fasa: JKN Perlis akan periksa 2,000 premis | COVID-19: Lebih 2,000 kematian di Indonesia | PKPD: PDRM, TLDM serta APMM kerah aset kawal perairan Bukit Malut, Langkawi | COVID: 16,117 kes baharu dilaporkan hari ini | Sabah di landasan terbaik capai sasaran 60 peratus penduduk divaksin Oktober ini | 
EKONOMI

Bursa kemuka pertanyaan kepada Serba Dinamik mengenai maklumat terkini berhubung penilai bebas

23/06/2021 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun  -- Bursa Malaysia mengemukakan pertanyaan kepada Serba Dinamik Holdings Bhd meminta maklumat terkini mengenai status dan jangka masa berhubung pelantikan penilai bebas.

Pada Mei lepas, Serba Dinamik berkata juruaudit KPMG PLT tidak dapat mengesahkan kontrak dan urus niaga bernilai RM3.5 bilion dengan 11 pelanggan.

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu menolak kebimbangan tersebut dan menyatakan pihaknya melihat tiada sebarang isu berhubung kewujudan atau kesahihan kontrak itu.

Pada 22 Jun, 2021, Serba Dinamik mengambil tindakan undang-undang terhadap KPMG, menyatakan juruaudit itu telah mengenal pasti beberapa isu dengan cuai, justeru, meminta kepada semakan bebas.

Dalam kenyataan hari ini, bursa itu berkata Serba Dinamik perlu mengambil langkah yang diperlukan untuk melantik penilai bebas dengan segera bagi menangani ketidaktentuan berhubung kebenaran dan ketepatan perkara itu seperti yang dibangkitkan oleh juruaudit luarnya.

Bursa Malaysia turut menafikan bahawa Pengerusi Serba Dinamik Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed telah menghubungi bursa mengenai perkara itu, seperti yang dinyatakan dalam laporan berita.

“Bursa Malaysia menafikan terdapat perbincangan. 

“Bursa komited untuk memastikan penyebaran maklumat yang tepat dan tepat pada masanya untuk pasaran modal,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) turut menjelaskan bahawa pihaknya tidak berhubung dengan Pengerusi Serba Dinamik seperti yang dilaporkan dalam artikel bertajuk “What Serba Dinamik said on its audit issues”, yang disiarkan dalam The Edge CEO Morning Brief pada Selasa.

Menurut SC, juruaudit turut dikehendaki menggunakan skeptisisme profesional mereka semasa melakukan audit dan sentiasa mematuhi Piawaian Pengauditan Antarabangsa seperti yang diguna pakai oleh Institut Akauntan Malaysia.

Ia menegaskan bahawa di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, juruaudit mempunyai obligasi statutori untuk segera melaporkan kepada SC “jika mereka percaya terdapat perkara yang boleh dianggap melanggar atau tidak melaksanakan mana-mana perkara mengikut undang-undang sekuriti, peraturan bursa saham atau perkara yang mungkin memberi kesan buruk kepada kedudukan kewangan syarikat yang disenaraikan.”

Lembaga Pemantauan Audit SC turut menyatakan juruaudit luar juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan yang diaudit di Malaysia. 

Oleh itu, juruaudit perlu dibenarkan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan memberikan pandangan bebas mereka tanpa rasa takut atau menyokong, selain melaksanakan tugas mereka tanpa sebarang tindakan balas.

Dalam jawapan kepada pertanyaan Bursa Malaysia, Serba Dinamik berkata Lembaga Pengarah bersetuju untuk melantik penilai bebas bagi menilai kebenaran dan ketepatan perkara yang diketengahkan oleh KPMG.

“Pada 22 Jun, 2021, syarikat telah memfailkan writ dan pernyataan tuntutan terhadap KPMG atas alasan kecuaian profesional, pelanggaran kontrak dan pelanggaran kewajipan statutori.

“Oleh itu, Lembaga Pengarah akan berbincang pada 25 Jun untuk melihat sama ada skop penilai bebas perlu diperluas atau sebaliknya.

“Berdasarkan nasihat undang-undang, syarikat berpendapat bahawa KPMG tidak boleh lagi bertindak secara bebas sebagai juruaudit luar.

“Syarikat akan membuat pengumuman dengan segera mengenai perkara ini selepas memuktamadkan skop kerja yang disebutkan,” menurut Serba Dinamik dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan