BERITA COVID–19   Singapura lapor lebih 2,000 kes baharu COVID-19, 5 kematian pada 28 Sept | Vaksin COVID-19: Penghuni 'tirai besi' syukur tidak dilupakan | Jumlah individu hilang pekerjaan antara fokus Dewan Rakyat Rabu | Jumlah individu hilang pekerjaan antara fokus Dewan Rakyat Rabu | Sabah benar rentas daerah ikut zon mulai Jumaat ini | 
EKONOMI

Serba Dinamik bakal ambil tindakan undang-undang terhadap KPMG

23/06/2021 12:10 AM

 SHAH ALAM, 22 Jun  -- Serba Dinamik Holdings Bhd memutuskan untuk memfailkan tuntutan sivil bagi kerugian yang dialaminya terhadap juruaudit luarnya, KPMG PLT berikutan kecuaian profesional, pelanggaran kontrak dan pelanggaran kewajipan statutori.

Syarikat perkhidmatan minyak dan gas itu berkata, berikutan ‘situasi yang sedang berlaku,’ spekulasi buruk telah tercetus di pasaran, antaranya menyebabkan kemerosotan ketara harga saham dan keseluruhan permodalan pasaran.

Dalam kenyataan hari ini, Serba Dinamik berkata keadaan itu mengakibatkan pihaknya dan KPMG menemui jalan buntu, menyebabkan timbul beberapa isu tertentu dalam proses auditnya.

“Selepas penilaian yang komprehensif mengenai perkara ini dan mendapatkan nasihat guaman, kami berpendapat bahawa Serba Dinamik mempunyai tuntutan yang baik dan boleh dakwa ke atas KPMG disebabkan tindakan atau kurangnya tindakan mereka yang enggan menyelesaikan audit itu,” kata syarikat berkenaan.

Bagi menyelesaikan sebarang kebimbangan dengan pengawal selia dan pasaran, Serba Dinamik akan terus menyiasat isu-isu yang dibangkitkan KPMG dan mengumumkan penemuannya, kata syarikat itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan susulan taklimat media Pengerusi Serba Dinamik, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed secara dalam talian, hari ini.

“Perkara (yang digariskan oleh KPMG) telah dibangkitkan dalam mesyuarat khas lembaga pengarah pada 3 Mei 2021 yang mana KPMG menunjukkan ia tidak bersedia untuk melengkapkan audit itu melainkan kajian semula bebas oleh pihak ketiga dijalankan terhadap dakwaan penemuan yang dinyatakan KPMG,” katanya.

Menurut Serba Dinamik, penemuan yang dibangkitkan oleh KPMG “tidak bersifat substantif yang memerlukan kajian semula bebas” dan isu yang dialami juruaudit itu “benar-benar disebabkan kecuaian mereka sendiri.”

Serba Dinamik berkata tindakan KPMG akhirnya menemukan jalan buntu dan sebaik sahaja perkara ini diketahui di pasaran terbuka, ia menyebabkan penurunan mendadak terhadap harga saham, permodalan pasaran dan keyakinan umum.

Sementara itu, Mohamed Ilyas berkata KPMG telah menyebabkan masalah audit ini menjadi lebih serius.

“Ini menyebabkan, pemegang saham menanggung kerugian. Kami telah mengalami kerugian permodalan pasaran sekitar lebih RM3 bilion, ia bukan sedikit bagi sebuah syarikat minyak dan gas,” katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan