EKONOMI

PENYIAPAN PROJEK PELABURAN BERNILAI RM7.33 BILION CERMIN KEYAKINAN PELABUR TERHADAP ISKANDAR MALAYSIA

21/06/2021 03:14 PM

JOHOR BAHRU, 21 Jun -- Penyiapan projek pelaburan bernilai RM7.33 bilion di Iskandar Malaysia antara tempoh Januari hingga April tahun ini mencerminkan petunjuk positif koridor ekonomi itu masih mendapat kepercayaan daripada pelabur.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim berkata 20 peratus daripada pelaburan yang telah siap itu melibatkan pelabur domestik manakala baki 80 peratus daripada pelabur asing.  

“Kami berharap keyakinan ini akan berterusan dan menggalakkan pelabur lain untuk melihat rantau ini sebagai platform ideal untuk memula, membina atau mengembangkan perniagaan dan operasi mereka atau membuat persediaan bagi pasca pandemik COVID-19.

“Kami amat menghargai sokongan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan kelulusan projek pembuatan di Iskandar Malaysia dan menantikan projek-projek ini selesai pada tahun ini meskipun cabaran yang ada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Tahun lepas, antara projek yang diluluskan untuk dibangunkan di rantau ini termasuklah projek dari China, Jepun dan Singapura dengan tiga industri utama yang diluluskan adalah peralatan pengangkutan, eletrik dan elektronik dan mesin dan peralatan. 

Ismail berkata keseluruhannya, jumlah kumulatif pelaburan yang direkodkan Iskandar Malaysia mencecah RM341.4 bilion sejak 2006 dengan 61 peratus daripadanya telah berjaya disempurnakan setakat ini.

Menurutnya, koridor ekonomi itu akan terus diketengahkan sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi pelabur yang mahu memula, membina semula atau mengembangkan perniagaan dan operasi mereka semasa dan selepas pandemik dengan mengambil beberapa inisiatif yang boleh membantu pelabur ini memulakan kepentingan mereka di rantau ini dengan segera.

Mengenai penerokaannya dalam bidang perladangan moden, beliau berkata pelabur dan rakan kongsi dialu-alukan untuk menjalin kerjasama dalam membangun, memacu dan meraih manfaat daripada inisiatif perladangan moden, didorong oleh keperluan bagi menambah baik jaminan makanan dan permintaan besar terhadap bekalan makanan bagi negara ini sendiri dan negara jiran Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan