EKONOMI

ICDM: LEMBAGA PENGARAH SERBA DINAMIK BERTANGGUNGJAWAB JELASKAN ISU AUDIT

18/06/2021 07:26 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun -- Ahli lembaga pengarah Serba Dinamik Holdings Bhd bertanggungjawab untuk menjelaskan sewajarnya berhubung isu melibatkan auditnya, demikian menurut Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM).

Pengerusi ICDM Tan Sri Zarinah Anwar berkata ahli lembaga penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu perlu memberi maklum balas yang memuaskan terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan oleh juruaudit.

“Anda tidak boleh cuba untuk mengelak kerana mereka merupakan juruaudit berkanun luar anda dan itu adalah tugas mereka untuk memberikan peringatan.

 “Kita mendapati ahli lembaga tidak berbuat demikian (menjawab isu ini, menyebabkan) pemegang saham tidak menyokong dan dalam masa semalaman berlaku kejatuhan harga saham yang mengurangkan permodalan pasarannya,” katanya pada sidang media secara maya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) keempat ICDM hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ICDM Michele Kythe Lim. 

Pada akhir Mei, KPMG selaku juruaudit Serba Dinamik membangkitkan isu berhubung lebih RM3.5 bilion kontrak dan transaksi yang belum dapat disahkan dengan 11 pelanggan.

Dalam responsnya, Serba Dinamik berkata pihaknya tidak melihat sebarang isu membabitkan kesahan dan kewujudan kontrak itu dan tidak menjangka sebarang impak material bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021.

Syarikat berkenaan telah melantik Ernst & Young Advisory Services Sdn Bhd sebagai penilai semula bebas untuk menilai kebenaran dan ketepatan perkara yang diutarakan KPMG selain melantik tiga pengarah bukan eksekutif bebas baharu.

Zarinah menegaskan, adalah penting untuk ahli lembaga Serba Dinamik bersikap profesional dalam menjelaskan pertanyaan sah yang dibangkitkan oleh juruaudit itu.

“Komunikasi juga seharusnya lebih cepat. Anda tidak boleh menunggu lama sehingga impak buruk telah berlaku dan selepas itu, barulah memaklumkan. Anda perlu berkomunikasi. Anda perlu menerangkan dan seterusnya, mengelakkan sebarang kesan buruk daripada langkah yang diambil.

“Perkara kedua yang ingin saya sentuh adalah kecekapan pengarah. Mereka perlu menghindari krisis seumpama ini yang akan menjejaskan syarikat. Kita tidak akan pernah tahu bilakah krisis mungkin berlaku,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata 2020 adalah tempoh yang mencabar kepada semua perniagaan, termasuk ICDM.

“Kepantasan adalah terasnya dan keutamaan kami adalah untuk memastikan dapat memenuhi keperluan ahli-ahli dengan berkesan di samping mengekalkan momentum kemajuan yang telah dilaksanakan setakat ini.

“Selalunya, perlu dibuat semula untuk menentukan kaedah penghantaran yang berbeza bagi memastikan keberkesanan usaha kami,” katanya.

Sempena AGM itu, ICDM menerbitkan Laporan ICDM kedua yang menggariskan kemajuan dan kejayaan penting organisasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020 serta bagi tempoh Januari hingga April 2021 untuk mencerminkan perkembangan terkini.

Sorotan penting itu antara lain memaklumkan peningkatan asas keahlian ICDM iaitu 671 individu dan 50 ahli korporat, 132 sesi bagi program kemajuan pengarah secara maya dan pelancaran sulung Kajian Kepelbagaian Ahli Lembaga Malaysia.

Pada masa depan, ICDM akan terus memperluas dan meningkatkan kumpulan bakat pengarah serta memperkasa lebih ramai calon ahli lembaga selain menggalakkan dan memudahkan pengarah rentas sempadan.

Sehubungan itu, ICDM bekerjasama dengan institut pengarah lain di ASEAN untuk mewujudkan Rangkaian Pengarah ASEAN bagi memenuhi permintaan yang meningkat di pasaran serantau serta untuk menawarkan calon-calon ahli lembaga ASEAN ke seluruh dunia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan