EKONOMI

MATRADE ANJUR HARI EKSPORT KEBANGSAAN MELALUI PLATFORM DIGITAL TAHUN INI

15/06/2021 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun  -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan menganjurkan program, Hari Eksport Kebangsaan, melalui platform digital pada tahun ini. 

Dalam kenyataan hari ini, katanya bertemakan “Reignite Your Exports”, Hari Eksport e-Kebangsaan (eNED@2021) itu akan disiarkan secara langsung dari 13 Julai hingga 15 Julai.

“Program itu akan memberi tumpuan kepada keperluan syarikat Malaysia untuk menghadapi tempoh pandemik yang mencabar bagi memulihkan perniagaan eksport mereka,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata tema program itu pada tahun ini akan menggesa syarikat Malaysia untuk meningkatkan usaha bagi meneruskan momentum pemulihan dan pertumbuhan untuk memulihkan eksport dengan memanfaatkan kemampanan, pendigitalan serta perjanjian perdagangan bebas seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). 

“eNED@2021 adalah program yang tidak boleh dilepaskan oleh syarikat Malaysia berikutan ia merupakan perhimpunan maya pengeksport yang terbesar menghimpunkan pakar-pakar perdagangan, pemimpin berteraskan eksport, penceramah dan ahli panel termasuk Pesuruhjaya Perdagangan Matrade yang akan berkongsi pandangan mengenai trend pasaran terkini, peluang dan strategi yang berkesan, berikutan cabaran yang berterusan bagi kebanyakan perniagaan untuk bertahan dalam tempoh pandemik ini,” katanya.

Acara selama tiga hari itu akan dirasmikan oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang akan menyampaikan ucaptama mengenai “Reinventing Business in the Pandemic and Beyond”.

Agenda acara merangkumi sesi pleno ketua pegawai eksekutif dan perbincangan panel mengenai topik berkaitan pemudahan eksport dan pembiayaan, pendigitalan, kemampanan dan peluang pasaran global.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan