EKONOMI

UOB MALAYSIA KEKALKAN UNJURAN PELABURAN DILULUSKAN 2021 BERJUMLAH RM185 BILION

14/06/2021 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun -- UOB Malaysia mengekalkan unjurannya untuk pelaburan diluluskan tahun penuh berjumlah RM185 bilion pada 2021 berbanding RM167.4 bilion pada 2020, walaupun terdapat cabaran jangka pendek berikutan sekatan pergerakan di seluruh negara pada masa ini.

Ahli Ekonomi Kanan Julia Goh berkata pelaksanaan vaksinasi negara akan memulihkan ekonomi dan membantu pelaburan mendapat semula momentum.

Katanya pemulihan dalam pelaburan diluluskan akan membantu meningkatkan pelaburan swasta dan menambah kapasiti pengeluaran dalam sektor yang terus menyaksikan pertumbuhan dan permintaan yang kukuh.

“Setakat Mac 2021, terdapat cadangan pelaburan bernilai RM54.4 bilion yang mungkin dapat dilaksanakan pada tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

“Bagaimanapun, ini tertakluk kepada situasi COVID-19, kadar vaksinasi, langkah-langkah pencegahan dan keadaan makro global,” katanya.

Dalam negara, kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif di bawah pelbagai pelan rangsangan dan Belanjawan 2021 untuk menarik pelaburan bernilai tinggi.

Di samping itu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menubuhkan Unit Percepatan dan Koordinasi Projek (PACU) untuk memberikan kemudahan menyeluruh kepada semua projek yang diluluskan dan memperkenalkan beberapa perkhidmatan dalam talian bagi kelulusan lesen, insentif dan pengecualian untuk mempercepatkan pelaksanaan projek.

Ia turut memperkenalkan aliran kerja proses baharu untuk permohonan ekspatriat, dengan pusat sehenti bagi menilai permohonan pengembara perniagaan yang layak untuk memasuki Malaysia bagi tujuan perdagangan dan pelaburan.

Jumlah pelaburan diluluskan di Malaysia melonjak 95.6 peratus kepada RM80.6 bilion pada suku pertama tahun ini, berbanding RM41.2 bilion pada suku pertama 2020, walaupun menghadapi cabaran pandemik COVID-19 yang berterusan.

Sektor pembuatan terus menarik tahap pelaburan tertinggi, berjumlah RM58.8 bilion atau 72.9 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan, diikuti perkhidmatan sebanyak RM15.6 bilion (19.4 peratus) dan sektor utama RM6.2 bilion (7.7 peratus).

Goh berkata peningkatan semula pelaburan langsung asing (FDI) terbukti berdasarkan pelaburan asing diluluskan lebih tinggi berjumlah RM54.9 bilion.

FDI mewakili 68.1 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan pada suku tahun tersebut, diikuti pelaburan domestik diluluskan berjumlah RM25.7 bilion atau 31.9 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan