EKONOMI

MICROLEAP BERHASRAT TARIK LEBIH RAMAI PELABUR UNTUK KEMBANG PERNIAGAAN

17/05/2021 03:47 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 17 Mei -- Platform pembiayaan (P2P) rakan setara, microLEAP, sedang mengadakan perbincangan awal untuk menarik syarikat telekomunikasi sebagai pelabur bagi mengembangkan perniagaannya dan mendekati lebih ramai masyarakat, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar.

Syarikat pemula niaga yang berpangkalan di Malaysia itu yang menawarkan pembiayaan alternatif dan instrumen pelaburan berharap antara lainnya, dapat bekerjasama dengan bank pembangunan untuk membantu petani teknologi pertanian mendapatkan pembiayaan, katanya.

"Kami sentiasa mencari rakan kongsi untuk membantu mengembangkan pelabur dan penerbit (peminjam). Kami berharap dapat mengembangkan jenama dan platform kami agar lebih banyak pemilik perniagaan kecil menyedari bahawa mereka boleh mendapatkan pembiayaan P2P patuh Syariah dengan kami kerana ia lebih mudah berbanding apa difikirkan oleh kebanyakan orang,” katanya kepada Bernama, 

Menurutnya, microLEAP baru-baru ini mengumpulkan sejumlah lebih RM13.2 juta daripada syarikat pegangan pelaburan Malaysia, MAA Group, dalam pusingan pembiayaan baharu dan menyatakan bahawa ia merupakan pengendali P2P pertama di negara ini yang menawarkan pembiayaan Islam dan konvensional di platform yang sama. 

Selain itu, ia juga menjalin perkongsian strategik dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) yang mana RM2 juta diperuntukkan untuk membiayai sehingga 30 peratus daripada Nota Pelaburan Islam dan RM5 juta disalurkan bagi inisiatif Tabung Bantuan COVID-19. 

microLEAP juga bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia  (MDEC) di bawah program eBerkat untuk menyediakan perkhidmatan kewangan digital Islam kepada kumpulan pendapatan isi rumah B40. 

"Kami juga bekerjasama rapat dengan SME Corporation and Aims Solutions yang mana mereka merujuk penerbit kepada microLEAP pada yuran terdiskaun bagi pembiayaan P2P patuh Syariah,” kata Tunku Danny Nasaifuddin. 

microLEAP yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia akan menghubungkan penerbit yang merupakan perusahaan mikro yang mencari modal kerja, kepada pelbagai pelabur bagi membolehkan perusahaan mikro ini mengumpulkan pembiayaan yang amat diperlukan daripada orang ramai, katanya. 

Beliau berkata, microLEAP berbeza daripada bank memandangkan ia memanfaatkan pelbagai sumber pembiayaan yang berbeza, iaitu orang ramai, dan juga proses kreditnya tidak begitu ketat kerana ia berusaha untuk menyediakan perkhidmatan kepada perusahaan mikro yang terpinggir daripada jaringan perbankan tradisional.

"Masa yang diambil untuk mendapatkan dana dengan microLEAP juga lebih pantas kerana anda tidak perlu datang ke cawangan kerana segalanya dilakukan menerusi dalam talian. Oleh itu, pengendali pembiayaan P2P tidak akan sekali-kali menggantikan bank. Bank memainkan peranan penting dalam mengembangkan ekonomi,” katanya. 

Menurutnya, platform tersebut merupakan alternatif dan pilihan mudah kepada penerbit yang mencari pembiayaan modal kerja.  

microLEAP yang dilancarkan pada Oktober 2019 telah membiayai 79 perusahaan mikro dengan pembiayaan berjumlah RM2.2 juta, Baru-baru ini ia membiayai empat peniaga di Bazaria Wangsa Maju dengan dana bernilai lebih RM100,000 diagihkan menerusi kempen terbaharunya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan