BERITA TERGEMPAR   COVID: 19 new clusters reported today, with 10 linked to workplaces - Health DG | 
EKONOMI

Kerjasama Serba Dinamik-pihak berkepentingan bangunkan sektor e-sukan tempatan

30/04/2021 10:47 PM

SHAH ALAM, 30 April  -- Serba Dinamik Group Bhd menjalinkan kerjasama dengan pihak berkepentingan sukan elektronik (e-sukan) tempatan untuk bersama-sama membangunkan Pusat Selangor Esports City yang dijangka mula beroperasi pada 2022.

Kerjasama itu dibentuk berasaskan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Serba Dinamik, Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Persatuan Sukan Elektronik Selangor (ESS) serta Universiti Sains Komputer dan Kejuruteraan Malaysia (Unimy).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata Pusat Selangor Esports City akan menyediakan kemudahan e-sukan bertaraf dunia, akademi latihan, inkubator permainan dan hotel bertemakan e-sukan.

“Berlandaskan kerjasama dan sokongan pihak berkepentingan ini, Serba Dinamik menyasar untuk mengembangkan bakat e-sukan tempatan ke tahap antarabangsa dengan memanfaatkan infrastruktur bertaraf dunia, program pengembangan bakat dan sistem profil bakat yang dimiliki,” katanya pada majlis pemeteraian MoU tersebut di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata e-sukan kini merupakan fenomena global dan menurut penyelidikan dari Newzoo -- sumber paling dipercayai dunia bagi analisis dan penyelidikan pasaran permainan dan e-sukan -- Asia Tenggara menjana pendapatan berjumlah US$4.4 bilion daripada sektor permainan pada 2019/2020, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 16 peratus.

"Susulan begitu banyak potensi e-sukan untuk berkembang di negara ini, kami di Serba Dinamik berpandangan sudah sampai masanya untuk kami terlibat dalam arena ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan dan Generasi Muda serta Sukan negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata pembangunan Pusat Selangor eSport City akan dilaksanakan di sebuah bangunan yang sebelum ini merupakan bangunan hotel di Shah Alam.

“Kita akan ubah keseluruhan bangunan itu untuk dijadikan pusat e-sukan dengan melibatkan kos sekitar RM10 juta yang akan dibiayai secara bersama dengan pihak swasta dan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata pusat itu dijangka siap pada akhir 2021 dan mula beroperasi tahun hadapan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan