EKONOMI

USAHA SAMA SERBA DINAMIK AKAN BANGUNKAN HAB INOVASI DI ABU DHABI

23/04/2021 09:31 PM

KUALA LUMPUR, 23 April  -- Serba Dinamik Holdings Bhd, melalui usaha samanya, Block 7 Investments telah memperoleh kontrak untuk membangunkan hab inovasi pertama di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam satu kenyataan hari ini, ZonesCorp yang bertanggungjawab untuk merancang, membangun dan mengurus zon ekonomi khusus untuk pelabur di UAE berkata ia telah menandatangani perjanjian untuk pembangunan Hab Inovasi Blok 7 seluas 820,000 meter persegi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Karim Abdullah berkata projek itu dijangka siap dalam tiga fasa.

"Fasa satu akan mekibatkan pembangunan lebih daripada 350.000 meter persegi tanah, manakala bagi fasa dua dan tiga, 470,000 meter persegi lagi akan dibangunkan," katanya.

Beliau berkata projek itu dijangka dapat memenuhi aspirasi Abu Dhabi untuk mendorong pertumbuhan ekonomi melalui pembuatan maju dan paten berinovasi.

Hab merupakan cetusan idea EFIRE Capital Holdings Ltd dari Abu Dhabi dan Serba Dinamik.

ZonesCorp, sebuah syarikat di bawah Abu Dhabi Ports berkata pembangunan itu akan menjadi asas kluster pembuatan berteknologi tinggi dan kluster sains hayat dan farmasi.

Ia akan memberi perkhidmatan kepada syarikat yang terlibat dalam bidang kesihatan, mobiliti, sistem infrastruktur pintar, teknologi persekitaran, dan bidang penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi, katanya.

Menurut kenyataan itu, hab tersebut akan turut menjadi pusat membeli-belah digital canggih, arena e-sukan, taman tema digital dengan teater hologram, pejabat pintar dan ruang kerja, serta kemudahan pendidikan dan makmal untuk sektor akademik dan penyelidikan serta pembangunan.

Syarikat itu juga memberitahu bahawa ruang pameran realiti campuran, selain hospitaliri dan tempat tinggal pintar, serta gerai makanan dan minuman, juga sedang dalam perancangan.

Ketua Pegawai Eksekutif ZonesCorp, Mohamed Al Khadar Al Ahmed berkata hab itu akan menyokong pertumbuhan industri pembuatan maju yang mampan di Abu Dhabi dan juga sektor pembuatan di UAE.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan