BERITA COVID–19   PKPD di dua lokaliti Sarawak ditamatkan | 440 individu ditahan ingkar SOP PKP semalam- Ismail Sabri | Pasar Awam Bagan Ajam ditutup tiga hari | COVID: Kes baharu 4,855 hari ini, Selangor kekal catat kes tertinggi | COVID-19: CPRC Kelantan tidak galak pengasingan di rumah | 
AM

Pulau Sembilan beransur pulih, bakal dibuka semula

23/04/2021 01:51 PM

IPOH, 23 April -- Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk di sini yang ditutup sejak 2017 untuk kerja pemulihan kini beransur pulih, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Beliau berkata pihaknya sedang menunggu kebenaran untuk membuka semula kawasan peranginan tersebut bagi memastikan Pulau Sembilan dapat dipelihara dengan baik.

“Berdasarkan laporan yang saya perolehi dari taman negara, air mata biru telah pulih, kawasan pantai juga menunjukkan peningkatan serta flora dan fauna yang rosak sebelum ini juga semakin baik.

“Pada masa ini, kami menunggu kelulusan untuk dibuka semula, bagaimanapun memandangkan negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan rentas negeri tidak dibenarkan, kita akan tunggu sehingga sempadan kembali dibuka untuk pengumumannya seterusnya,” katanya selepas merasmikan program prapelancaran komuniti geopark di Kapal Korek Tanjung Tualang TT5 di sini hari ini.

Program anjuran Persatuan Wanita Penjana Ekonomi dengan kerjasama agensi kerajaan negeri itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam mempromosi, melakukan konservasi dan pembangunan geopark berasaskan komuniti selain dapat menjana ekonomi penduduk tempatan di kawasan tinggalan perlombongan bijih timah berkenaan.

Nolee Ashilin berkata pihaknya akan menerima kedatangan Jawatankuasa Geopark Kebangsaan bagi melihat semula status Geopark Kebangsaan Lembah Kinta pada Jun depan.

Beliau berkata pihaknya juga akan mencadangkan kawasan yang baharu iaitu di Gua Matsoorat untuk diangkat sebagai geotapak ke-19 bagi Geopark Lembah Kinta.

“Geopark Lembah Kinta juga menyaksikan beberapa produk baharu termasuk Silverlakes Brand Village Outlet di Batu Gajah yang akan dibuka mungkin suku ketiga tahun ini iaitu Disember memandangkan kita hadapi cabaran Perintah Kawalan Pergerakan yang telah melambatkan proses pembukaan. 

“Kita juga ada rumah dan Galeri Datuk Lat di kawasan sama yang juga produk terbaharu akan diperkenalkan pada waktu sesuai,” katanya.

Untuk rekod, Geopark Lembah Kinta yang meliputi keseluruhan daerah Kinta, Kampar dan Batu Gajah dengan keluasan dianggarkan 1,952 kilometer persegi itu mempunyai 18 geotapak.

-- BERNAMA

 

TAG: nolee ashilin, geopark, lembah kinta, pulau sembilan, pulih


SMM ROZ ZUZ

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan