BERITA COVID–19   PKPD di dua lokaliti Sarawak ditamatkan | 440 individu ditahan ingkar SOP PKP semalam- Ismail Sabri | Pasar Awam Bagan Ajam ditutup tiga hari | COVID: Kes baharu 4,855 hari ini, Selangor kekal catat kes tertinggi | COVID-19: CPRC Kelantan tidak galak pengasingan di rumah | 
AM

'Rumah' burung hupo dikawal ketat di Taman Tasik Taiping

22/04/2021 02:12 PM

TAIPING, 22 April  -- Zoo Taiping & Night Safari meminta orang ramai supaya tidak menceroboh dan membuat bising di kawasan pembiakan burung hupo atau nama saintifiknya Upupa epops longirostris di Taman Tasik Taiping di sini.

Pengarahnya Dr Kevin Lazarus berkata pihaknya bimbang perbuatan itu boleh mengganggu pembiakan burung tersebut yang dikesan membuat sarang di dalam lubang sebatang pokok di taman berkenaan kira-kira dua minggu lepas.

“Kita percaya pasangan burung bermigrasi betina itu sedang mengeram telur di dalam lubang di pohon berkenaan dan dijangka anaknya menetas dalam tempoh tiga minggu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, selain Malaysia, burung hupo juga ada di Thailand, Myanmar dan Vietnam.

Beliau juga berkata ketika ini banyak spesies burung bermigrasi berada di sekitar Taman Tasik Taiping dan zoo tersebut, iaitu fenomena biasa pada setiap bulan Mac dan April.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa pemerhati burung berkumpul berdekatan pokok berkenaan  untuk merakam detik burung hupo memberikan makanan kepada pasangannya yang sedang mengeram.

Peminat burung Lee Ong, 45, berkata dia tertarik untuk datang menyaksikan sendiri burung tersebut yang jarang dapat dilihat, selepas kehadiran burung berkenaan tular menerusi media sosial.

Dia juga berharap orang ramai termasuk pemerhati burung sepertinya tidak mengganggu proses pembiakan burung berkenaan agar populasi unggas itu bertambah di negara ini.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan