BERITA COVID–19   440 individu ditahan ingkar SOP PKP semalam- Ismail Sabri | Pasar Awam Bagan Ajam ditutup tiga hari | COVID: Kes baharu 4,855 hari ini, Selangor kekal catat kes tertinggi | COVID-19: CPRC Kelantan tidak galak pengasingan di rumah | Aidilfitri sedih buat Dr Annuar, kes COVID masih tinggi di Sibu | 
AM

Tun Arifin Zakaria dilantik Pengerusi Majlis Penasihat AIAC

22/04/2021 11:07 AM

KUALA LUMPUR, 22 April -- Bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) bagi tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 April lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata turut dilantik sebagai ahli majlis itu ialah Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun, Tan Sri Sulong Matjeraie, Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham, Raja Datuk Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, Datuk Nitin Nadkarni dan Dr Wafi Nazrin Abdul Hamid.

“Turut dilantik ahli Majlis Penasihat AIAC itu ialah Tan Swee Im, Prof. Doug Jones AO (Australia), Dr Hassan Arab (Emiriah Arab Bersatu), Monica Feria Tinta (United Kingdom), Khawar Qureshi QC (United Kingdom) dan Vyapak Desai (India)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata ahli majlis itu berperanan menentukan strategi dan pelan tindakan bagi memperkukuh AIAC serta meningkatkan aktiviti pusat tersebut di samping membantu Pengarah AIAC Tan Sri Suriyadi Halim Omar. 

Beliau menjelaskan pelantikan Ahli Majlis Penasihat AIAC dari dalam dan luar negara itu dibuat berdasarkan kepakaran dan pengalaman luas individu berkenaan dalam industri Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) di negara masing-masing.

Takiyuddin turut  berharap AIAC akan meneruskan kecemerlangan sebagai sebuah institusi ADR dan pusat timbang tara yang unggul serta terkemuka di dunia dengan pelantikan ahli Majlis Penasihat AIAC tersebut.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan