BERITA COVID–19   Wanita B40 raih pendapatan mampan di sebalik penularan pandemik | Polis siasat dakwaan KP Pendidikan Tinggi langgar SOP PKP | Penafian berita palsu tular 15 Mei - KKMM | MRSM Pengkalan Hulu nafi isu tular berkaitan makanan pelajar | Video tular mengenai Stadium Malawati tidak benar | 
EKONOMI

'Simbol status' alasan utama pelanggan Malaysia beli Ducati

21/04/2021 06:16 PM

KUALA LUMPUR, 21 April  -- Pelanggan Malaysia membeli motosikal Ducati kerana simbol statusnya yang menekankan kepada imej bergaya dan juga untuk menyertai kumpulan individu yang memiliki minat dan kedudukan sosial yang sama, kata Pengarah Jualan dan Selepas Jualan Global Ducati Motor Holding Francesco Milicia.

Beliau berkata pasaran Malaysia boleh disifatkan sebagai sangat dinamik, pantas dan responsif kerana pelanggan Malaysia begitu peka kepada inovasi, eksklusiviti serta nilai intrinsik kenderaan dan juga nilai jenama. 

“Menunggang motosikal premium, seperti penunggang Ducati di Malaysia, adalah satu latihan menyeluruh yang penuh keseronokan, salah satu cara untuk seseorang melarikan diri daripada rutin kehidupan seharian biasa.

“Penggunaan utama motosikal adalah bagi perjalanan santai ke luar bandar dan kami juga menyedari peningkatan minat terhadap aktiviti trek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai model paling banyak dijual di Malaysia beliau berkata satu daripada model paling laris pada 2020 ialah Panigale V4 S sambil menambah pelanggan Malaysia cepat menyesuaikan diri dengan model baharu itu berikutan prestasi dan spesifikasinya yang luar biasa.

“Selain itu, model Monster 821 dan Hypermotard 950 turut melengkapkan tiga produk terlaris, juga menunjukkan gabungan produk yang berjaya bagi pasaran Malaysia,” katanya.  

Sementara itu, katanya, pada 2021 Ducati akan mengembangkan program aktivitinya yang telah dilaksanakan dengan jaya tahun lepas tetapi memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang sentiasa memerlukan format baharu, ia perlu menawarkan sesuatu yang di luar daripada kebiasaan. 

Perkongsian erat antara Ducati Motor Holding dan Next Bike Sdn Bhd sejak 2000-an telah membawa kepada pembukaan bilik pameran Ducati kedua terbesar di Asia Tenggara di Petaling Jaya pada 2020.

Next Bike Sdn Bhd dinamakan sebagai Ducati Malaysia dalam domain awam.

“Ketika ini Ducati memilki tiga kedai jenama mono di kawasan bandar utama --  Petaling Jaya, Sungai Buloh dan Pulau Pinang sebagai cawangan kami di wilayah utara. Pengembangan seterusnya rangkaian akan dipertimbangkan mengikut keperluan pasaran,” katanya. 

-- BERNAMA



 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan