BERITA COVID–19   Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | Aktiviti rentas daerah, negeri seluruh negara dilarang selama empat minggu mulai Isnin | Rakyat perlu ambil iktibar tsunami COVID-19 di India - KP Kesihatan | 
EKONOMI

Pusat data pertama Microsoft sedia perkhidmatan awan diyakini dalam negara

19/04/2021 06:23 PM

PUTRAJAYA, 19 April -- Pusat data serantau Microsoft Corporation yang pertama di Malaysia akan menyediakan perkhidmatan awan yang diyakini dalam negara dengan tahap keselamatan data dan privasi bertaraf dunia serta keupayaan menyimpan data di negara ini.

Pengarah Urusan Microsoft Malaysia K Raman berkata pusat data serantau yang akan ditempatkan di Kuala Lumpur itu adalah gabungan tiga pusat data yang kesemuanya dihubungkan kepada rangkaian latensi rendah dan mampu memberikan penyelesaian awan yang terbaik kepada negara.

“Dengan pembinaan pusat data ini di Malaysia, kita membantu untuk menggalakkan penggunaan awan dalam semua industri berbeza.

“Microsoft sebagai sebuah syarikat melihat potensi luas daripada kepelbagaian rakyat Malaysia dan keupayaan kemahiran yang boleh kita bangunkan bersama-sama Malaysia untuk berkhidmat di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas program Microsoft Bersama Malaysia di sini, hari ini. 

Acara itu dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kehadiran secara maya Naib Presiden Eksekutif dan Presiden Jualan, Pemasaran dan Operasi Global Microsoft Corp, Jean-Phillippe Courtois.

Raman berkata pusat data serantau itu adalah sebahagian daripada pusat data serantau global Microsoft yang akan dihubungkan dengan 60 pusat data serantau di seluruh dunia.

“Projek untuk menubuhkan pusat data ini bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah untuk seluruh dunia. Kami bekerjasama dengan kerajaan untuk menjadikan pusat data kami di sini sebagai sebuah pusat data serantau yang berkhidmat untuk Asia dan seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata pusat data baharu serantau itu akan menyediakan Zon Ketersediaan Azure Microsoft, memberi daya tahan lebih kukuh bagi aplikasi yang sentiasa tersedia dan menyokong matlamat kelestarian Microsoft.  

Ditanya mengenai penglibatan Microsoft dalam rancangan kerajaan untuk memindahkan 80 peratus daripada data awan kerajaan menjelang akhir 2022, Raman berkata mereka bekerjasama rapat dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). 

“Microsoft adalah antara penyedia perkhidmatan awan yang dilantik kerajaan untuk menyokong inisiatif MyDigital (Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia). Buat masa ini, kami bekerjasama rapat dengan MAMPU untuk merancang 80 peratus pemindahan itu dengan teliti, menerusi bidang yang dapat disumbangkan oleh Microsoft,” katanya.

Selain menubuhkan pusat data serantau di Malaysia, beliau berkata Microsoft juga berikrar untuk melatih sejuta rakyat Malaysia dengan kemahiran digital baharu menjelang 2023.

Secara keseluruhan, beliau berkata pelaburan itu adalah sebahagian daripada inisiatif Bersama Microsoft yang mencerminkan komitmen bersama untuk menyokong aspirasi MyDigital di negara ini.

“Dengan lebih 200 kakitangan dan 2,000 rakan kerjasama di negara ini, kami akan terus menyokong kerajaan berkeupayaan digital, memperkasa perniagaan untuk membina ketahanan digital dan merapatkan jurang peluang digital bagi rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan