BERITA COVID–19   PKPD di dua lokaliti Sarawak ditamatkan | 440 individu ditahan ingkar SOP PKP semalam- Ismail Sabri | Pasar Awam Bagan Ajam ditutup tiga hari | COVID: Kes baharu 4,855 hari ini, Selangor kekal catat kes tertinggi | COVID-19: CPRC Kelantan tidak galak pengasingan di rumah | 
EKONOMI

Pusat data serantau Microsoft bakal wujud 19,000 peluang pekerjaan - Muhyiddin

19/04/2021 03:18 PM

PUTRAJAYA, 19 Apr -- Penubuhan pusat data serantau pertama Microsoft Corp di Malaysia di bawah inisiatif “Bersama Malaysia” yang dijangka bernilai sekurang-kurangnya US$1 bilion (US$1=RM4.127) bagi tempoh lima tahun akan datang dijangka mewujudkan 19,000 peluang pekerjaan termasuk 4,000 pekerjaan berkaitan teknologi maklumat (IT). 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata menurut International Data Corporation, tempias daripada pelaburan pusat data serantau ini mungkin diterjemahkan kepada penjanaan hasil berjumlah US$6.9 (RM28.3) dalam ekosistem awan untuk setiap hasil US$1 (RM4.2) yang dijana oleh Microsoft Malaysia daripada awan menjelang 2024. 

Di bawah inisiatif itu, katanya, Microsoft juga membentuk lima perkongsian dengan agensi kerajaan dan syarikat tempatan termasuk Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Petronas, Celcom dan Grab. 

“Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Microsoft Bersama Malaysia, saya juga difahamkan oleh Microsoft bahawa kerjasama ini akan membantu memahirkan sehingga satu juta rakyat Malaysia (di pelbagai peringkat) menjelang akhir 2023.

“Saya harap kejayaan kerjasama ini akan menjadi teladan yang membantu merapatkan jurang digital dan memperkasakan setiap rakyat Malaysia menerusi penggunaan teknologi,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran inisitaif  "Microsoft Bersama Malaysia" di sini, hari ini. 

Muhyiddin berkata inisiatif itu juga sejajar dengan peranan yang bakal dimainkan oleh pendigitalan sebagai pemangkin jangka sederhana dan panjang yang penting dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) akan datang dan juga Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030).

Pusat data serantau pertama Microsoft di Malaysia itu akan termasuk ‘Microsoft Azure’, yang akan membolehkan sesiapa sahaja mereka cipta dengan tujuan untuk menggunakan perkhidmatan dan keupayaan awan yang merangkumi pengkomputeran, perangkaian, pangkalan data, analitik, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT); Microsoft 365, untuk berhubung, berkolaborasi, bekerja dari jarak jauh dan belajar secara dalam talian dengan instrumen produktiviti inovatif; serta Dynamics 365 dan Power Platform, untuk membina dengan pantas dan menguruskan penyelesaian perniagaan enterpris kritikal dengan aplikasi perniagaan pintar.

Sementara itu, perdana menteri berkata Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi hab data serantau, dengan ketersediaan jalur lebar tinggi yang meningkat, ruang yang secukupnya, tarif kuasa yang berpatutan dan kini dengan kemunculan syarikat-syarikat hiperskala

Pada masa ini, katanya seluruh industri bergantung kepada data untuk mencapai pertumbuhan, dan terdapat banyak peluang bagi mereka yang mampu memanfaatkan permintaan yang tinggi di peringkat global bagi segala perkara berkaitan dengan data.

“Kita adalah sebuah negara yang kecil dengan impian data yang besar. Komitmen untuk melengkapkan negara dengan jalur lebar 5G dan meningkatkan kapasiti simpanan data hanyalah permulaan. 

“Dalam kita menuju ke arah itu, Malaysia sentiasa bersedia untuk kekal di hadapan dalam bidang teknologi dengan memanfaatkan data untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik bagi perniagaan, meningkatkan produktiviti ekonomi dan akhirnya mengukuhkan daya saing Malaysia,” katanya. 

Seperti biasa, Muhyiddin berkata, kerajaan akan merintis jalan dan menjadi teladan, dengan terlebih dahulu memindahkan 80 peratus daripada datanya kepada awan menjelang akhir 2022. 

“Penghijrahan ini dan juga penyediaan aplikasi super kerajaan dalam tempoh terdekat, akan memperluaskan set data seterusnya membolehkan kerajaan mengumpul maklumat dalam mengenal pasti isu sosial dan menyelaraskan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Dengan memahami pola tingkah laku dan hubung kait di antaranya, kerajaan berharap dapat menggunakan data untuk membuat analisis ramalan. Menangani isu ini akan membantu menambah baik penyampaian perkhidmatan sektor awam dan memperkasakan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pandemik COVID-19 telah menunjukkan bahawa golongan paling terdedah ialah kumpulan yang sering tidak dapat menggunakan teknologi ini, malah mereka menghadapi risiko paling besar untuk dipinggirkan.

Oleh itu, katanya, melalui kerjasama awam-swasta di bawah inisiatif MyDigital, Malaysia akan melabur sekurang-kurangnya RM50 bilion dalam tempoh lima tahun di bawah pelbagai projek infrastruktur digital.

Dalam pada itu, katanya, rancangan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bernilai RM21 bilion berjalan lancar dan akan menyediakan sambungan 5G penghujung yang lebih baik ke kawasan-kawasan pedalaman tidak lama lagi. 

“Rancangan untuk melancarkan rangkaian 5G di semua kawasan kepadatan tinggi menjelang 2023 juga berjalan lancar dan dengan bermulanya operasi SPCV milik kerajaan - Digital Nasional Bhd baru-baru ini,” kata Muhyiddin.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan