BERITA COVID–19   Ujian pengesanan COVID-19 guna ‘test-kit’ air liur dilaksanakan dalam masa terdekat | COVID-19: KKM kesan 46 kluster rentas negeri | PKP di Kuantan, beberapa kawasan di Pulau Pinang, Perak mulai Isnin | Premis tersenarai dalam sistem HIDE diarah tutup tiga hari serta merta | COVID: Kapasiti kesihatan di Tawau cukup setakat ini | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Pengurus syarikat dakwa rugi RM512,000 beli permit AP bauksit tak wujud

19/04/2021 10:28 AM

KUANTAN, 19 April -- Seorang pengurus syarikat mendakwa kerugian RM512,000 akibat diperdayakan dalam urusan pembelian permit eksport (AP) bauksit tidak wujud, tiga tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa  berusia 52 tahun mendakwa dia bersama tiga rakan kongsi berkenalan dengan seorang lelaki pada awal 2017 yang dikatakan boleh memperoleh AP bagi bauksit dari Kuantan. 

"Selepas berbincang, mangsa mendakwa syarikat mereka setuju membeli AP bernilai RM9 satu tan metrik dengan 50,000 tan metrik bernilai RM450,000 pada 10 Jan 2017 sebelum diminta membayar yuran guaman berjumlah RM10,000. 

"Suspek yang berusia 31 tahun dikatakan telah meminta mangsa membayar RM12,000 sekitar Mei dan Ogos 2017 kononnya bagi memperbaharui permit AP itu dan RM20,000 pada Jun tahun sama bagi bayaran royalti bauksit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa juga mendakwa kerugian RM20,000 selepas mengikut nasihat suspek yang memintanya menubuhkan syarikat baharu bagi tujuan eksport itu, selepas salah seorang rakan kongsinya menghilangkan diri.

Selepas menunggu lebih tiga tahun, mangsa akhirnya merasa dirinya ditipu kerana suspek tidak menyerahkan permit AP seperti dijanjikan walaupun telah membuat semua bayaran yang diminta. 

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Dalam kes berasingan, seorang kontraktor berusia 55 tahun mendakwa kerugian RM10,500 akibat diperdayakan dalam pembelian jentera berat backhoe menerusi laman sosial, bulan ini. 

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa berurusan dengan seorang lelaki kononnya dari Ayer Tawar, Perak yang bersetuju menjual jentera itu pada harga RM40,000 dengan bayaran awal perlu didepositkan ke akaun diberikan suspek. 

"Mangsa mendakwa telah membuat dua transaksi pemindahan wang tunai ke akaun itu berjumlah RM8,000 pada 11 dan 14 April lepas, sebelum diminta membayar RM2,500 kononnya sebagai bayaran pengangkutan menghantar jentera itu ke Kuantan," katanya. 

Mangsa bagaimanapun mendakwa tidak menerima jentera itu dan usahanya menghubungi suspek tidak berjaya menyebabkan dirinya berasa ditipu.

-- BERNAMA

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan