BERITA COVID–19   PKPD di dua lokaliti Sarawak ditamatkan | 440 individu ditahan ingkar SOP PKP semalam- Ismail Sabri | Pasar Awam Bagan Ajam ditutup tiga hari | COVID: Kes baharu 4,855 hari ini, Selangor kekal catat kes tertinggi | COVID-19: CPRC Kelantan tidak galak pengasingan di rumah | 
SUKAN

Enam pemain di ABM positif COVID - BAM

17/04/2021 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 17 April --  Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan enam pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM) positif COVID-19.

Menurut kenyataan BAM, kesemua pemain tersebut yang tidak mempamerkan sebarang gejala, kini menjalani kuarantin kendiri.

“Selepas perundingan dengan Kementerian Kesihatan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara, kesemua 91 atlet, jurulatih dan pegawai di ABM di Bukit Kiara menjalani ujian saringan, namun kesemuanya negatif,” kata BAM.

Proses sanitasi menyeluruh juga telah dijalankan di ABM pada Jumaat dan latihan berkonsepkan kuarantin tersebut akan diadakan semula di Pusat Kecemerlangan Badminton Negara, manakala semua aktiviti sekolah akan dijalankan secara dalam talian untuk tempoh beberapa hari akan datang. 

“Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan kesemua mereka yang berada di ABM merupakan keutamaan kami dan kami berharap enam atlet terbabit akan pulih secepat mungkin,” kata BAM. 

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengarahkan MSN, ISN dan BAM supaya mengambil tindakan segera mengikut arahan dan prosedur Kementerian Kesihatan demi keselamatan atlet, jurulatih dan pegawai.

“Saya telah dimaklumkan mengenai kes jangkitan COVID-19 di ABM. Keselamatan atlet, jurulatih dan pegawai sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam laman Twitter hari ini.

-- BERNAMA

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan