BERITA COVID–19   PKPD di dua lokaliti Sarawak ditamatkan | 440 individu ditahan ingkar SOP PKP semalam- Ismail Sabri | Pasar Awam Bagan Ajam ditutup tiga hari | COVID: Kes baharu 4,855 hari ini, Selangor kekal catat kes tertinggi | COVID-19: CPRC Kelantan tidak galak pengasingan di rumah | 
SUKAN

Kemenangan saat akhir, tuah menyebelahi TFC - Nafuzi

17/04/2021 09:26 AM

KUALA NERUS, 17 April -- Pengendali Terengganu FC (TFC) Nafuzi Zain menganggap tuah berpihak kepada pasukannya apabila memperoleh kemenangan pada hujung perlawanan ketika menentang Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi Liga Super 2021 di laman sendiri malam tadi.

Mengakui pasukan pelawat bukanlah lawan yang mudah, Nafuzi berkata beberapa peluang gol yang terlepas daripada genggaman skuad The City Boys telah menyelamatkan kedudukan skuad Penyu yang memulakan perlawanan dengan agak perlahan.

“KL City FC bukan lawan yang senang, pertahanan mereka sangat padu dan mereka juga sangat berbahaya ketika menyerang. Jadi bagi saya pada separuh masa pertama kita bernasib baik kerana pasukan lawan terlepas peluang. Antaranya apabila mereka hampir melakukan jaringan tetapi bola hanya singgah di palang gol,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super 2021 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini. 

Perlawanan tersebut menyaksikan pemain tengah Makan Konate muncul sebagai wira menjaringkan gol tunggal pada minit ke-88, sekali gus menghadiahkan pasukannya tiga mata penuh dan menjadi penghuni tangga kedua liga.

Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City FC Bojan Hodak tetap berbangga dengan aksi dipamerkan skuad bimbingannya meskipun terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Malah, pengendali dari Croatia itu menganggap perlawanan malam tadi adalah aksi terbaik pasukannya sepanjang musim 2021 bermula kerana mereka lebih banyak melakukan serangan dan mencipta peluang jaringan terutama pada separuh masa pertama.

“Kami lebih baik berbanding awal musim, bagaimanapun dalam bola sepak kita bermain untuk menjaringkan gol dan kita ada peluang tetapi tidak melakukannya. Sebab itu mereka (TFC) menang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan