BERITA COVID–19   MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE | PKP beri impak bekalan darah di Sabah | Situasi COVID-19 di Besut membimbangkan, penduduk dinasihat had pergerakan, patuh SOP | Varian baharu COVID-19 bawa gejala lebih teruk - KP Kesihatan | COVID-19: Ketua Pemuda PAS Selangor tidak kritikal - DPPNS | 
EKONOMI

Maybank IB optimis SP Setia melepasi sasaran jualan RM3.8 bilion pada tahun kewangan 2021

14/04/2021 01:17 PM

KUALA LUMPUR, 14 April -- Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) optimis terhadap peluang pemaju hartanah, SP Setia Bhd untuk melepasi sasaran jualan rasminya sebanyak RM3.8 bilion pada tahun kewangan 2021.

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu berkata SP Setia telah melancarkan unit baharu dengan berhati-hati dan setakat ini, hanya fasa baharu di projek perbandaran sedia ada telah dilancarkan.

“Di tempat lain, pemaju hartanah sedang mengkaji struktur modalnya untuk memanfaatkan persekitaran kadar faedah yang rendah pada masa ini.

“Ia turut merancang untuk menjual simpanan tanah bukan teras berjumlah 524.07 hektar bernilai RM2 bilion dalam nilai pasaran,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata SP Setia turut berhasrat untuk meneruskan pembayaran dividennya dan memberi ganjaran kepada pemegang saham biasa pada tahun ini apabila Fasa 2 dan 3A Battersea Power Station (BPS) siap, sambil menambah bahawa pemaju hartanah tidak memerlukan dana segera untuk pembangunan masa depan dalam projek BPS.

“Fasa 2 BPS dijangka siap antara Mac dan Ogos 2021 manakala Fasa 3A antara November 2021 dan Mac 2022,” katanya.

Katanya SP Setia telah menghentikan pembayaran dividen pada tahun kewangan 2020 selepas mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM321 juta, sebahagian besarnya disebabkan penurunan nilai.

Bank pelaburan itu mengekalkan saranan “beli” ke atas SP Setia, dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM1.39 sesaham.

Pada 11.47 pagi, harga saham SP Setia sebanyak RM1.12.

-- BERNAMA

 

 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan