BERITA COVID–19   Kadar kebolehjangkitan COVID-19 tertinggi di Kelantan | Lima sekolah di Kota Kinabalu rekod kes positif COVID-19 | COVID: SDDMC pantau pematuhan SOP tempat kerja di Sibu | COVID: Kes baharu meningkat menghampiri 3,000 kes - KP Kesihatan | Asrama sekolah di Salor jadi PKRC untuk pelajar positif COVID-19 | 
SUKAN

Sesi pemilihan awal atlet bina badan ke Sukan SEA 2021 Ahad ini

08/04/2021 09:41 AM

KUALA LUMPUR, 8 April -- Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) akan melaksanakan sesi pemilihan awal atlet ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, pada Ahad ini.

Setiausaha Kehormat MBBF Kamaruzaman Kadir berkata pihaknya tidak menetapkan jumlah atlet untuk menyertai pemilihan awal itu sebaliknya berharap ramai akan turun memperagakan tubuh ‘sado’ mereka pada sesi berkenaan.

“Jemputan telah diedarkan kepada semua persatuan negeri dan atlet, jadi saya harap mereka yang berminat mewakili negara ke Sukan SEA 2021 boleh hadir ke sesi pemilihan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kamaruzaman pada masa sama sedikit terkilan dengan tindakan pihak penganjur temasya sukan dwitahunan itu yang sehingga kini masih belum mengemukakan maklumat lanjut mengenai acara berkenaan.

Jelas beliau, pihaknya memerlukan maklumat khususnya had jumlah peserta yang boleh dihantar bagi setiap kategori dipertandingkan untuk membolehkan mereka membuat perancangan rapi untuk menghadapi cabaran di Vietnam nanti.

Sebanyak 10 kategori dijangka dipertandingkan termasuk tujuh bagi lelaki dan satu terbuka wanita pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, yang dijadual berlangsung dari 21 Nov hingga 2 Dis depan.

Acara bina badan membuat kemunculan semula pada Sukan SEA 2021 selepas kali terakhir dipertandingkan pada edisi 2013 di Myanmar yang menyaksikan Malaysia membawa pulang satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2021 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan